Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Polis M'sia rampas 6kg dadah disembunyi dalam bungkusan beras

Anggaran Waktu Membaca:

TAWAU: Satu lagi rangkaian sindiket dadah berjaya ditumpaskan oleh pihak polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau apabila berjaya menangkap dua lelaki tempatan bersama enam kilogram syabu atau methamphetamine. 

Demikian menurut laporan Astro AWANI. 

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Husin dalam satu sidang media pada Isnin (20 Jun) memberitahu para wartawan bahawa kedua-dua lelaki tersebut diberkas pada pukul 3.35 petang, 14 Jun lalu, di Bandar Sri Indah. 

“Mereka cuba mengaburi mata dengan menggunakan bungkusan beras. Dalam serbuan tersebut, pihak polis merampas satu kotak polisterin yang mengandungi enam bungkusan tertera tulisan ‘Ecological Rice’ yang mengandungi ketulan jernih disyaki dadah jenis syabu,” katanya lagi seperti dipetik Astro AWANI. 

Kedua-dua suspek yang berumur 30 dan 42 tahun itu ditahan semasa melakukan urusan jual beli dadah tersebut.

“Kami percaya operasi kali ini yang melibatkan maklumat risikan dan menjejak suspek terlibat sekali gus telah membongkar satu lagi sindiket dadah yang bergiat aktif di daerah ini,” katanya.

Menurut beliau, rampasan tersebut dibawa ke IPD Tawau dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan