Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Polis M'sia pertingkat penguatkuasaan di pintu sempadan elak seludup mercun

Anggaran Waktu Membaca:
Polis M'sia pertingkat penguatkuasaan di pintu sempadan elak seludup mercun

Ketua Polis Kedah Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad. (Gambar: BERNAMA)

BALING: Penguatkuasaan di pintu masuk sempadan negara di Bukit Kayu Hitam akan dipertingkatkan bagi mengekang penyeludupan mercun dan bunga api khususnya menjelang sambutan Aidilfitri.

Ketua Polis Kedah Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata buat masa ini hanya terdapat beberapa syarikat yang telah memohon untuk menjadi pengedar berlesen bagi membawa masuk bunga api melalui pintu sempadan itu.

"Ada dua atau tiga syarikat yang telah memohon menjadi pengedar berlesen tapi yang mana tidak berlesen, menyeludup, kita memang tegaskan akan buat pemeriksaan dan penangkapan.

"Penjualan secara haram tidak dibenarkan, terutamanya mercun yang membahayakan serta boleh menyebabkan berlaku kemalangan seperti putus jari dan tangan, itu tidak dibenarkan untuk dijual," katanya kepada pemberita di Majlis Berbuka Puasa warga Polis Diraja Malaysia Kedah Zon Selatan semalam (7 Apr).

Katanya lagi, hanya peniaga berlesen saja yang dibenarkan untuk mengimport bunga api malah beberapa hari lalu sudah ada penangkapan yang dibuat membabitkan percubaan menyeludup masuk bahan itu.

Wan Hassan menasihatkan mana-mana pihak yang ingin membawa masuk bunga api yang dibenarkan dari negara jiran sempena musim perayaan ini untuk mengemukakan permohonan agar perniagaan mereka dijalankan secara sah.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata sejak pintu sempadan di Bukit Kayu Hitam dibuka pada awal bulan ini terdapat peningkatan pada bilangan kenderaan yang keluar masuk melalui pintu sempadan itu.

"Selepas lima ke enam hari sempadan dibuka, ada kenderaan keluar masuk tetapi tidak banyak, lebih kurang 100 kenderaan yang keluar masuk dalam sehari. Ini mungkin disebabkan beberapa SOP (prosedur operasi standard) yang tidak jelas seperti keperluan melakukan ujian RT-PCR (tindak balas rantaian polimerase transkripsi balikan), membeli insurans dan sebagainya," katanya.

Wan Hassan berkata walaupun jumlah kenderaan masih belum banyak pemeriksaan masih dijalankan seperti biasa termasuk mengadakan sekatan jalan raya 24 jam di pintu masuk berkenaan.

"Kita memang sentiasa bersedia, pasukan rondaan termasuklah anggota narkotik dan jenayah, sentiasa melakukan rondaan dan pemantauan," katanya.

Sumber : Bernama/AW/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan