Skip to main content

Dunia

Polis M'sia panggil lebih ramai individu bantu siasatan kes tanah runtuh Genting Highlands

Anggaran Waktu Membaca:
Polis M'sia panggil lebih ramai individu bantu siasatan kes tanah runtuh Genting Highlands

Gambar: Bernama

Diterbitkan : 19 Dec 2022 02:17PM Dikemas Kini : 19 Dec 2022 02:18PM
BATANG KALI: Polis akan memanggil lebih ramai individu bagi membantu siasatan terhadap insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan Fathers’ Organic Farm, Gohtong Jaya di Batang Kali termasuk mangsa-mangsa yang terselamat daripada kejadian awal pagi Jumaat itu (16 Dis).

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Suffian Abdullah berkata proses berkenaan mungkin dilakukan dalam tempoh seminggu dua lagi memandangkan kebanyakan mangsa yang merupakan warga Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong, ketika ini masih trauma.

Pada Sabtu (17 Dis), polis memanggil tiga individu iaitu pengusaha tapak perkhemahan berkenaan dan dua pekerjanya bagi membantu siasatan.

“Saya percaya dalam kes ini, ramai lagi akan dipanggil termasuk juga mangsa-mangsa,” katanya dalam sidang media di Batang Kali pada Isnin (19 Dis).

Dalam kejadian pada pukul 2.42 pagi Jumaat, runtuhan tanah sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter menimpa tapak perkhemahan itu yang terletak di Jalan Genting-Batang Kali.

Setakat pukul 12.00 tengah hari pada 19 Dis, sembilan mangsa masih hilang, manakala 24 lagi terkorban daripada keseluruhan 94 mangsa yang terlibat dalam kejadian itu.

Encik Suffian berkata kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 7 Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Seksyen 304 (A) dan Seksyen 290 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata polis juga mengenal pasti lima daripada tujuh kenderaan yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh berkenaan, dengan masing-masing dua daripada pemilik kenderaan tersebut telah meninggal dunia dan terselamat, manakala seorang lagi masih hilang.

Dalam pada itu, beliau berkata kesemua 24 mayat mangsa tragedi berkenaan selesai diserahkan kepada waris dan keluarga pada Ahad (18 Dis).

Beliau turut menyeru ahli keluarga atau orang dikenali yang didapati hilang ketika berkunjung ke kawasan berkenaan agar membuat aduan ke balai polis.

Encik Suffian turut meminta semua pihak agar tidak menyebarkan video atau gambar yang boleh mengaibkan mangsa insiden berkenaan kerana tindakan sedemikian boleh dikenakan tindakan undang-undang sama ada di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atau Kanun Keseksaan.
Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita