Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Polis M'sia lancar siasatan selepas temui 13 naskhah al-Quran dalam longkang

Anggaran Waktu Membaca:
Polis M'sia lancar siasatan selepas temui 13 naskhah al-Quran dalam longkang

(Gambar: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul)

KUALA LUMPUR: Polis membuka kertas siasatan berhubung penemuan 13 naskhah al-Quran dipercayai sengaja dibuang oleh individu tidak bertanggungjawab ke dalam longkang di Tasik Sri Murni, Jinjang, di Kuala Lumpur pada pukul 6.30 petang Sabtu (18 Feb).

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai berkata seorang wanita tempatan, yang juga Ahli Kesatuan Nelayan Kebangsaan, membuat aduan polis pada pukul 11.32 pagi Ahad (19 Feb) dengan memaklumkan beliau menemui beberapa naskhah kitab suci itu di dalam longkang.

“Hasil siasatan mendapati saksi yang sedang beriadah bersama suaminya ternampak sebuah beg berwarna biru di dalam longkang berdekatan dengan kolam takungan tasik dan hasil pemerhatiannya mendapati senaskah al-Quran dalam keadaan terbuka dan telah terkeluar dari beg tersebut.

“Kemudian, saksi telah meminta bantuan daripada seorang lelaki tempatan yang tidak dikenali dan berada berhampiran dengannya untuk membawa naik beg itu dan kesemua naskah al-Quran terbabit telah dibawa keluar dan dihantar ke Masjid Annas Kampung Selayang Lama untuk disimpan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Encik Beh berkata polis sudahpun membuat semakan di platform media sosial TikTok dan mengesahkan bahawa terdapat satu hantaran berkaitan dengan aduan yang dilaporkan oleh saksi.
“Kes itu telah disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana membinasakan apa-apa benda dipegang suci dengan tujuan untuk mengaibkan agama dan Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana mendatangkan mudarat keharmonian ke atas agama,” katanya.

Katanya lagi, kesemua naskah al-Quran itu sudahpun diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

Encik Beh menasihatkan orang awam supaya jangan membuat sebarang spekulasi yang boleh mendatangkan kebimbangan serta menjejas ketenteraman awam terutama kepada masyarakat umum.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes itu boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di talian 03-40482206,” katanya.
Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan