Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Polis M'sia beri amaran redah kawasan banjir demi kandungan media sosial boleh berdepan tindakan

Polis Malaysia memberi amaran pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau pihak yang berlegar-legar di kawasan banjir di daerah Baling jika ia semata-mata untuk membuat kandungan media sosial.
 

Anggaran Waktu Membaca:
BALING: Polis Malaysia memberi amaran pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau pihak yang berlegar-legar di kawasan banjir di daerah Baling jika ia semata-mata untuk membuat kandungan media sosial.

Ketua Polis Daerah Baling Superintenden Shamsudin Mamat berkata mereka yang masuk ke kawasan bencana dengan niat untuk meraih populariti di media sosial boleh dikenakan tindakan kerana menghalang tugas penjawat awam.

"Kita faham perkembangan era zaman teknologi baru untuk mereka berada di satu tempat dan masa yang betul untuk mereka menularkan sesuatu isu dan sebagainya dan mungkin untuk mendahului media.

"Jadi saya ingin memberi nasihat kepada mereka yang mempunyai kepentingan diri tanpa berasa belas kasihan kepada mangsa banjir yang sedang kesusahan, cukuplah menyusahkan pihak berkuasa dengan berlegar-legar di kawasan musibah ini tanpa tujuan.

"Semata-mata untuk mempopularkan diri dengan mengatakan bahawa anda berada di sini dan membantu mangsa-mangsa banjir sedangkan anda tidak berbuat apa-apa," katanya semasa sidang media di Baling hari ini (6 Jul).

Beliau berkata sekiranya pihak yang berkenaan ingkar arahan pihak berkuasa dengan memasuki kawasan bencana tanpa tujuan, tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Tambah beliau lagi, bagi meningkatkan kawalan keselamatan, polis mengadakan dua sekatan jalan raya iaitu di simpang Kampung Jerai dan Kuala Kuang yang juga bertujuan mengurangkan kemasukan kenderaan yang tidak berkaitan di kawasan bencana.

Dalam pada itu, beliau berkata setakat ini, pihak polis tidak menerima sebarang laporan berhubung kehilangan atau kecurian harta benda melibatkan mangsa bencana banjir.

"Mangsa banjir dibenarkan pulang untuk mengambil barang berharga atau dokumen pengenalan diri untuk tujuan disimpan di tempat selamat atau pusat pemindahan sementara," katanya.

Sementara itu, Encik Shamsudin berkata setakat 5.00 petang tadi, seramai 499 orang daripada 109 keluarga masih ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS).
Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan