Polis Melaka atur strategi pastikan PRU15 M'sia berjalan lancar
Ketua Polis Melaka, Zainol Samah (tiga, kanan) menyantuni peniaga India pada Program Cegah Jenayah dan Walkabout sempena Sambutan Perayaan Deepavali 2022 di Little India di Melaka. Gambar: Bernama
Ketua Polis Melaka, Zainol Samah berkata sebanyak 1,800 anggota dan pegawai diatur gerak untuk penugasan berkaitan PRU15 manakala 250 anggota dan pegawai akan ditugaskan untuk menghadapi banjir sekiranya berlaku dalam tempoh berkenaan.
"Kita juga akan mengatur gerak aset pasukan yang akan digunakan pada PRU15 dan sekiranya banjir berlaku seperti bot. Kita juga akan memohon bantuan sumber manusia daripada sukarelawan dan badan bukan kerajaan untuk membantu.
"Selain itu, cuti bagi kira-kira 2,572 anggota dan pegawai polis di Melaka dibekukan lebih awal sehingga PRU15 berakhir bagi memastikan segala persiapan berjalan lancar," katanya kepada pemberita di Melaka pada Khamis (20 Okt).
Beliau ditemui selepas merasmikan Program Cegah Jenayah dan Walkabout sempena Sambutan Perayaan Deepavali 2022 yang turut dihadiri Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri VP Shanmugam.
Mengulas lanjut, Encik Zainol berkata pihaknya juga mengenal pasti kerusi panas daripada enam Parlimen di Melaka pada PRU15 dan pemantauan lebih ketat akan dilakukan di kawasan berkenaan bagi mengelak sebarang kemungkinan berlaku.
"Bagaimanapun, orang ramai tidak perlu bimbang untuk keluar pada hari mengundi bagi menunaikan tanggungjawab mereka dan keselamatan mereka adalah jaminan polis," katanya.
Beliau berkata parti politik yang ingin menggunakan dron dalam tempoh berkempen perlu mendapatkan kebenaran daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.