Skip to main content

Dunia

Polis Malaysia tingkatkan rondaan di sekolah bagi sokong dasar keselamatan digital pelajar

Anggaran Waktu Membaca:
Polis Malaysia tingkatkan rondaan di sekolah bagi sokong dasar keselamatan digital pelajar

(Gambar: PDRM)

Diterbitkan : 18 Oct 2025 05:19PM Dikemas Kini : 18 Oct 2025 06:08PM
KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meningkatkan rondaan serta kehadiran anggota polis di kawasan sekolah sebagai langkah menyokong dasar keselamatan digital pelajar yang diperkenalkan kerajaan.

Menteri Dalam Negeri Malaysia Saifuddin Nasution Ismail berkata langkah itu adalah sebahagian daripada tindakan bersepadu yang merangkumi aspek pendidikan, pencegahan, dan penguatkuasaan.

Beliau berkata antara fokus utama lain ialah memperkukuh peranan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) dalam membimbing pelajar mengenai disiplin dan keselamatan siber, serta menggiatkan kempen kesedaran keselamatan bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

“KDN menyokong pendekatan menyeluruh yang memberi tumpuan kepada peningkatan sistem sokongan kesihatan mental mesra belia di sekolah dan masyarakat, penguatkuasaan yang jelas dengan tindakan konsisten terhadap penyalahgunaan peranti, buli siber dan eksploitasi digital,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu (18 Okt).

Selain itu, beliau berkata pemantauan serta penyesuaian dasar secara berterusan juga perlu bagi memastikan langkah-langkah berkenaan kekal relevan dengan perkembangan teknologi.
 
Encik Saifuddin berkata usaha itu turut membabitkan penglibatan KPM, Kementerian Kesihatan Malaysua(KKM), PIBG, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan platform digital.

“Selain itu, pendidikan literasi digital yang mantap perlu diberikan bagi membentuk pelajar beretika dan bertanggungjawab dalam dunia maya. Kebertanggungjawapan platform serta keselamatan melalui reka bentuk juga penting supaya syarikat teknologi turut memainkan peranan dalam melindungi pengguna bawah umur,” katanya.

Beliau menegaskan isu keselamatan digital pelajar bukan sekadar berkaitan disiplin sekolah, tetapi merupakan tanggungjawab nasional yang memerlukan kerjasama antara kerajaan, institusi pendidikan, ibu bapa, masyarakat, dan industri teknologi.

Menurutnya langkah itu bukan untuk menyekat kebebasan, tetapi untuk melindungi masa depan generasi muda Malaysia agar mereka membesar dalam persekitaran pembelajaran yang selamat, berdisiplin, dan sejahtera secara mental serta digital, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Terdahulu, Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim berkata Kabinet pada Jumaat (17 Okt) menyarankan tiga langkah menangani isu keselamatan di sekolah, termasuk melarang penggunaan telefon pintar kepada pelajar berumur 16 tahun ke bawah.

Beliau berkata larangan itu bertujuan membendung masalah disiplin, pengaruh media sosial, serta permainan dalam talian yang kerap mencetuskan tingkah laku negatif, termasuk kes buli dan jenayah di sekolah.
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita