Polis Malaysia tidak terima maklumat Jho Low berada di Myanmar
Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak mempunyai maklumat tentang keberadaan ahli perniagaan dalam buruan Jho Low yang dipercayai berada di Myamnar, kata Ketua Polis Negara Razarudin Husain.

Gambar fail ahli perniagaan M'sia yang melarikan diri, Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low. (Gambar: Jho Low/ Facebook)
Beliau berkata setakat ini pihak berkuasa Myanmar tidak berkongsi sebarang maklumat mengenai individu penting bagi perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu dengan PDRM, memandangkan negara berkenaan turut berada dalam Polis ASEAN (ASEANAPOL).
“Apa juga maklumat yang ada, kita akan kongsi termasuk dengan ASEANAPOL. Buat masa ini kita tiada apa-apa maklumat dan Myanmar juga tidak memberi sebarang makluman.
“Kita juga mempunyai kerjasama dengan Polis Antarabangsa (INTERPOL) dan ASEANAPOL, malah baru-baru ini saya juga telah menghadiri Perhimpunan Agung INTERPOL di Glasgow, Scotland selama seminggu. Apa juga maklumat yang kita ada, kita akan kongsi termasuk dengan Myanmar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada para wartawan selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) 2024 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur pada Jumaat (22 Nov).
Sebelum ini, media melaporkan Muhammad Shafee Abdullah yang juga peguam kepada mantan Perdana Menteri Najib Razak, mendakwa Jho Low kini bersembunyi di Myanmar.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.