Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Polis Malaysia terima lebih 200 aduan berhubung perhimpunan AP pembangkang

Polis Malaysia menerima 206 laporan di seluruh negara berhubung perhimpunan oleh Ahli Parlimen pembangkang di Dataran Merdeka pada Isnin (2 Ogos) menyusuli penangguhan Sidang Khas Parlimen.

Anggaran Waktu Membaca:
Polis Malaysia terima lebih 200 aduan berhubung perhimpunan AP pembangkang

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 04 Aug 2021 09:45AM Dikemas Kini : 04 Aug 2021 09:55AM

KUALA LUMPUR: Polis Malaysia menerima 206 laporan di seluruh negara berhubung perhimpunan oleh Ahli Parlimen pembangkang di Dataran Merdeka pada Isnin (2 Ogos) menyusuli penangguhan Sidang Khas Parlimen.

Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata satu kertas siasatan dibuka bagi kesemua laporan yang diterima dan individu yang terlibat akan dipanggil untuk diambil keterangan bagi melengkapkan kertas siasatan.

Sehubungan itu katanya polis meminta semua individu yang terlibat dalam perhimpunan itu supaya memberikan kerjasama bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat di bawah Peraturan 9 dan Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021 (P.U (A) 293), Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), Seksyen 269 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan juga Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736),” katanya dalam kenyataan pada Selasa malam (3 Ogos).

Beliau berkata pihaknya mengambil maklum bahawa pada 30 Julai lalu, Setiausaha Dewan Rakyat mengemukakan pemberitahuan kepada ahli-ahli Dewan Rakyat bahawa persidangan Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 bagi Dewan Rakyat pada 2 Ogos 2021 ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

KPN Acryl Sani berkata penangguhan itu adalah selaras dengan cadangan Ketua Pengarah Kesihatan serta penilaian risiko semasa yang sudah dijalankan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) susulan perkembangan terbaru penularan jangkitan COVID-19, dan kementerian berkenaan berpendapat bahawa Parlimen Malaysia merupakan lokaliti berisiko untuk berlakunya penularan wabak itu.

Beliau berkata pada 1 Ogos lepas pihaknya menerima maklumat bahawa satu perhimpunan akan diadakan di kawasan Parlimen pada 2 Ogos 2021.

“Mengambil kira bahawa pada tarikh berkenaan tiada sidang Parlimen berlangsung kerana sidang telah ditangguhkan dan tiada kewajaran untuk ahli-ahli Dewan Rakyat berada di Parlimen, maka pihak polis telah mengambil langkah-langkah perlu untuk mengelakkan sebarang perhimpunan daripada diadakan,” katanya.

Jelasnya tindakan itu adalah selaras dengan peruntukan di bawah Peraturan 9 dan Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021 (P.U (A) 293), bertarikh 4 Julai 2021, dan berhimpun serta berarak merupakan aktiviti yang dilarang dalam tempoh pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara.

Semalam Bernama melaporkan polis menghalang percubaan Ahli Parlimen pembangkang memasuki pekarangan bangunan Parlimen bagi mendesak supaya sidang khas disambung walaupun sidang itu sudah ditangguhkan atas nasihat KKM berikutan penularan COVID-19.

Kumpulan itu bersurai tanpa sebarang kekecohan selepas diarahkan oleh pihak polis, tetapi berlaku banyak pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) khususnya berkaitan penjarakan fizikal, ketika perarakan dan ketika mereka berkumpul di Dataran Merdeka sebelum berarak menuju ke Parlimen.

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan