Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Polis Malaysia terima 399 laporan penipuan umrah; kerugian RM14 juta

Anggaran Waktu Membaca:
Polis Malaysia terima 399 laporan penipuan umrah; kerugian RM14 juta

(Gambar hiasan: Abdel Ghani Bashir/AFP)

Diterbitkan : 29 Nov 2023 06:18PM Dikemas Kini : 29 Nov 2023 06:19PM
KUALA LUMPUR: Sebanyak 399 laporan polis diterima berhubung dakwaan penipuan pakej umrah oleh sebuah syarikat pelancongan bermula 1 Jan hingga semalam melibatkan 1,614 jemaah di seluruh negara dengan jumlah kerugian lebih RM14 juta (S$4 juta).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Ramli Mohamed Yoosuf berkata 21 kertas siasatan dibuka setakat ini melibatkan angka kerugian lebih setengah juta Ringgit dan siasatan masih giat dijalankan termasuk memanggil pengurus syarikat untuk keterangan.

"Berdasarkan siasatan, syarikat milik (pasangan) suami isteri itu memiliki jumlah saham RM1 juta (S$286,000). Pengarah syarikat ialah suami isteri dan didaftarkan pada 2015, menjalankan pelbagai aktiviti perniagaan termasuk pelancongan.

"Berdasarkan makluman Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia pada awal 2023, kerajaan Arab Saudi telah menaikkan kos pengurusan umrah dan haji meliputi harga penginapan, pengangkutan dan makan minum menjadikan kos pakej yang ditawarkan syarikat tidak lagi relevan," katanya pada sidang media khas di Kuala Lumpur pada Rabu (29 Nov).

Beliau berkata, bagi menampung segala kekurangan kos pakej, syarikat yang mengendalikan pakej umrah itu didapati menggunakan duit jemaah.

"Syarikat menggunakan kos jemaah kumpulan A sebagai pusingan modal disebabkan kos penerbangan jemaah kumpulan B tidak mencukupi, kemudian syarikat menggunakan duit kumpulan C untuk menampung kos jemaah kumpulan B," katanya.

Encik Ramli berkata lesen operasi syarikat terbabit telah digantung bermula 10 Julai 2023 hingga 9 Januari 2024 di bawah Seksyen 8(1)(d) Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482), selain syarikat dan pengarahnya disenaraihitamkan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 5 Oktober 2023 di bawah sekatan pentadbiran Seksyen 17 Akta SSM 2001.

Beliau berkata sebanyak 229 laporan polis berkaitan syarikat berkenaan telah dirujuk ke Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia dan Tribunal Tuntutan Pengguna (TTPM), manakala lima laporan dirujuk ke Mahkamah Majistret bagi tuntutan sivil.
"Sebanyak 165 kes diklasifikasi sebagai Tiada Tindakan Lanjut atau No Further Action (NFA) sementara TTPM mengeluarkan tuntutan kepada 133 aduan melibatkan tuntutan berjumlah RM3,355,548.60 (S$960,000) daripada 177 aduan tuntutan yang dibuat," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Encik Ramli berkata polis berjaya menumpaskan sindiket penipuan tawaran pekerjaan dan menahan 65 individu warga tempatan berumur 16 hingga 50 tahun hasil serbuan di empat premis di Kuching, Sarawak pada Isnin (20 Nov) lepas.

Beliau berkata sindiket menyasarkan mangsa warga Australia dan Amerika Selatan menggunakan aplikasi "Monday" untuk memasukkan data pelanggan yang berminat membuat kerja sambilan.

Mangsa ditawarkan membuat penilaian dan promosi tiket penerbangan melalui pautan yang diberikan untuk mendapatkan komisyen, bagaimanapun mangsa perlu membuat bayaran terlebih dahulu sebelum membuat penilaian berkenaan.
 
Sumber : Bernama/AA/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan