Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Polis Malaysia terima 10 laporan eksploitasi buruh terkait GISBH

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, pada Rabu (25 Sep) mengesahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah menerima 10 laporan daripada mangsa eksploitasi buruh paksa dikaitkan dengan syarikat GISB Holdings (GISBH).

Katanya, 10 laporan yang dibuat oleh mangsa yang berbeza selepas pihaknya membuat gesaan supaya mangsa yang pernah menjadi eksploitasi buruh paksa tampil membuat laporan polis, lapor Berita Harian Malaysia.

"Laporan polis dibuat untuk kejadian yang berlaku di Miri, Sarawak; Rawang, Selangor dan Alor Setar, Kedah dengan tarikh kejadian berlaku antara tahun 2013 hingga 2024.

"Semua laporan itu diterima daripada mangsa berusia 14 tahun hingga lingkungan 20-an," katanya.

Terdahulu, Encik Razarudin dalam sidang media Op Global berkait GISBH kelmarin, menggesa mana-mana individu yang pernah menjadi mangsa atau mempunyai maklumat berkaitan kes itu diminta untuk tampil membuat laporan.

"Bagi sekian kalinya kita minta mereka tampil di mana-mana balai polis berhampiran untuk kita melengkapkan siasatan terhadap kes ini secara tuntas dan menyeluruh," katanya.

Dalam sidang media sama, Encik Razarudin turut menasihatkan ahli GISBH yang melarikan diri susulan Op Global di seluruh negara yang dilaksanakan secara berfasa sejak 11 September lalu, supaya tampil kepada pihak berkuasa untuk dibantu.

Beliau dilaporkan berkata, terdapat premis yang didapati dikosongkan ketika Op Global Fasa 4 bermula 21 September lalu dan dipercayai ahli GISBH yang berada di situ sudah melarikan diri.

"Dalam hal ini, berteraskan ihsan dalam Rukun Madani Kerajaan Malaysia yang cukup sinonim dengan kepedulian dan belas kasihan, pihak polis amat prihatin terhadap ahli GISBH yang melarikan diri tanpa arah tuju serta tidak mempunyai tempat tinggal.

"PDRM menasihatkan dan menyeru untuk mereka tampil kepada pihak berkuasa supaya kerajaan dapat memberikan bantuan yang sewajarnya dalam pelbagai bentuk, termasuk kebajikan dan sokongan psikologi," katanya, seperti dinukil laporan Berita Harian Malaysia.
Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan