Skip to main content

Dunia

Polis Malaysia tahan 3 individu bantu siasatan kes kanak-kanak 6 tahun hilang di Johor Bahru

Anggaran Waktu Membaca:
Polis Malaysia tahan 3 individu bantu siasatan kes kanak-kanak 6 tahun hilang di Johor Bahru

Gambar: Onn Hafiz Ghazi/Facebook

JOHOR BAHRU: Tiga individu termasuk seorang wanita ditahan bagi membantu siasatan kes kehilangan kanak-kanak perempuan berusia enam tahun di pusat perniagaan Eco Galleria, Iskandar Puteri, pada Sabtu lalu (21 Jul).

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, tiga individu warga tempatan itu ditahan di sekitar Gelang Patah, jam 1.30 petang.

"Tangkapan telah dibuat terhadap dua lelaki dan seorang wanita warga tempatan yang berusia dalam lingkungan 28 hingga 55 tahun bagi membantu siasatan.

"Kes kehilangan kanak-kanak itu juga sudah diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik dan melarikan seseorang dengan niat hendak mengurungnya secara sulit dan salah," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin (22 Jul), dipetik daripada agensi berita Astro Awani.

Menurut Encik Kumar, siasatan lanjut masih lagi dijalankan dan ketiga-tiga individu itu akan dibawa ke mahkamah pada Selasa bagi mendapatkan perintah reman.

Katanya, kanak-kanak itu juga setakat ini masih belum ditemui, menurut Astro Awani.

"Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

"Sebarang maklumat mengenai kejadian itu boleh disalurkan ke talian hotline Polis Johor di talian 019-2792095 atau talian Bilik Gerakan 07-2212999," katanya, lapor Astro Awani.

Pada Sabtu lalu, Albertine Leo Jia Hui disedari hilang oleh bapanya kira-kira jam 8.30 malam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan dilaporkan berkata, kanak-kanak itu berketinggian kira-kira 120 sentimeter dan rambutnya panjang berwarna hitam selain berkulit cerah dan bertubuh kurus sederhana.

Ketika hilang, kanak-kanak itu memakai baju T-shirt putih bergambar 'Mickey Mouse' dan berseluar pendek.

Sementara, Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi menyeru orang awam untuk membantu menyediakan maklumat mengenai keberadaan kanak-kanak perempuan berusia 6 tahun itu, yang dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu.

Dalam satu catatan di Facebook, Encik Onn Hafiz mengatakan beliau menerima khabar mengenai kehilangan kanak-kanak terbabit, yang didakwa terpisah daripada keluarganya apabila bersiar-siar di sebuah pusat beli-belah di Iskandar Puteri.

"Saya telah menerima laporan berkenaan seorang kanak-kanak perempuan berusia 6 tahun yang hilang pada 20 Jul 2024 jam 8.30 malam akibat terpisah dari keluarga ketika acara Bon Odori di Eco Galleria, Iskandar Puteri, Johor Bahru," tulisnya di Facebook.

"Pihak polis sedang berusaha untuk mencari dan mengesan kanak-kanak tersebut. Saya juga memohon orang ramai yang mempunyai maklumat atau menemui kanak-kanak tersebut, sila laporkan segera di balai polis berhampiran."
Sumber : AGENCIES/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita