Polis Malaysia: sindiket pedofilia yang ditumpaskan mungkin ada rangkaian antarabangsa
Sindiket penjualan kandungan pornografi bayi dan kanak-kanak yang ditumpaskan baru-baru ini dipercayai mempunyai rangkaian antarabangsa.
11 orang termasuk dalang sindiket pedofilia diberkas di Johor Bahru menerusi Op Pedo pada 19 Julai hingga 19 Ogos 2025. (Gambar hiasan: iStock)
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman M Kumar berkata pihaknya menerima maklumat daripada pihak berkuasa negara luar berkenaan aktiviti penjualan kandungan pornografi membabitkan kumpulan itu.
Beliau berkata terdapat banyak rakaman video dan gambar penganiayaan seksual kanak-kanak dimuat naik dalam laman gelap (dark web) tertentu yang mempunyai rangkaian antarabangsa.
"Bagi siasatan terhadap sindiket ini, polis mengalami kesukaran untuk mengesan pemilik dan individu yang mempunyai akses kepada dark web tersebut,” katanya ketika ditemui selepas pertemuan antara Kementerian Komunikasi, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama platform media sosial Tiktok di Bukit Aman pada Khamis (4 Sep).
Encik Kumar memaklumkan setakat ini tiada penahanan terbaharu dilakukan, selepas 11 orang termasuk dalangnya diberkas di Johor Bahru menerusi Op Pedo pada 19 Julai hingga 19 Ogos lalu.
Pada 29 Ogos, polis dilaporkan berjaya membongkar aktiviti sindiket pedofilia menerusi Ops Pedo, operasi selama sebulan oleh Unit Siasatan Jenayah Siber (Internet) Terhadap Kanak-Kanak Malaysia (MICAC) Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) PDRM dan agensi antarabangsa.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.