Skip to main content

Dunia

Polis Malaysia siasat laporan Bloomberg dakwa Ketua Pesuruhjaya SPRM miliki saham

Anggaran Waktu Membaca:
Polis Malaysia siasat laporan Bloomberg dakwa Ketua Pesuruhjaya SPRM miliki saham
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki. (Gambar fail: CNA/Fadza Ishak)

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan berhubung rencana yang diterbitkan Bloomberg, yang didakwa mengandungi kenyataan berunsur fitnah terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, M Kumar, mengesahkan menerima aduan polis pada Jumaat (13 Feb) dan sedang menjalankan siasatan berhubung rencana yang diterbitkan syarikat media antarabangsa itu.

Walau bagaimanapun, tiada butiran didedahkan mengenai siapa yang membuat aduan polis tersebut.

"Artikel bertajuk 'Malaysian Anti-Graft Chief Returns to Stocks After Outcry' yang diterbitkan pada Selasa lalu itu mendakwa Azam Baki memiliki sebanyak 17.7 juta saham dalam syarikat Velocity Capital Partner Bhd.

"Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5), JSJ Bukit Aman," katanya dalam kenyataan pada Jumaat, dipetik daripada agensi berita BH Online.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Seksyen 500 Kanun Keseksaan iaitu memfitnah yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

"Bagi Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi lima ratus ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya," katanya, lapor agensi berita BH Online.

Dalam pada itu, Encik Kumar berkata, siasatan masih dijalankan dan orang ramai dinasihatkan tidak menimbulkan sebarang spekulasi berhubung kes berkenaan sehingga PDRM selesai melengkapkan siasatan bagi memastikan prinsip keadilan jenayah di negara itu terus dihormati.

Sebelum ini, media melaporkan, Encik Azam memulakan tindakan undang-undang terhadap laporan Bloomberg yang disifatkannya sebagai mengelirukan, berunsur fitnah dan menjejas reputasi beliau serta integriti suruhanjaya berkenaan, lapor BH Online.

Dalam kenyataan menerusi peguamnya, Tetuan Zain Megat & Murad, firma itu memaklumkan pihaknya diarahkan untuk memulakan tindakan berkenaan dan mendapatkan segala tindakan yang berkaitan dengan penerbitan itu termasuk tuntutan ganti rugi yang bersesuaian.

Sebelum ini, laporan Bloomberg mendakwa Encik Azam, 62 tahun, memiliki 17.7 juta saham Velocity Capital Partner Bhd, sebuah syarikat perkhidmatan kewangan tersenarai di Bursa Malaysia berdasarkan pemfailan tahunan oleh Velocity Capital kepada kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 3 Februari tahun lalu.

Nilai pegangan berkenaan dianggarkan bernilai hampir RM800,000 (S$258,080) setakat penutupan dagangan baru-baru ini.

Menurut laporan Bloomberg, setakat sehingga Selasa lalu, nama Encik Azam masih tersenarai dalam daftar pemegang saham Velocity Capital di SSM yang boleh diakses melalui pangkalan data berbayar dan dikemas kini secara berkala.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita