Polis Malaysia siasat bunyi letupan dan gegaran di Ipoh
Polis sedang menyiasat dakwaan orang ramai mengenai bunyi letupan dan gegaran yang berlaku di sekitar daerah Ipoh pada pagi Rabu (18 Jun).
Bunyi letupan dan gegaran di sekitar daerah Ipoh sedang disiasat polis. (Gambar hiasan: Bernama)
Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad ketika dihubungi Bernama berkata Ketua Polis Perak Noor Hisam Nordin akan mengeluarkan kenyataan rasmi sekiranya menerima maklumat atau laporan mengenai kejadian berkenaan.
“Kita sedang siasat,” katanya ringkas.
Sementara itu, seorang penduduk di Klebang Harmoni, Mohammad Danial Nordin, 36 tahun, berkata beliau yang secara kebetulan berada di rumah mendengar dengan kuat bunyi letupan berkenaan.
“Saya dengar bunyi seperti ada orang tutup pintu dengan kuat dan berlaku gegaran semasa kejadian.
“Memang misteri sungguh sebab bunyi yang sangat kuat dan berlaku gegaran,” katanya yang masih terkejut dengan kejadian itu.
Menurut catatan dan komen-komen di media sosial, netizen mendakwa berasa gegaran di kawasan mereka termasuk di Chemor, Chepor dan Tanah Hitam pada pukul 10.30 pagi.
Pada 21 Oktober tahun lalu, satu gegaran kuat dirasai di beberapa kawasan di sekitar bandar raya itu antaranya di Tasek, Stadium Perak, Meru, Falim, Manjoi, Chemor dan Sungai Siput pada pukul 11.06 pagi yang disusuli dengan bunyi dentuman kuat.
Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay dilaporkan berkata bunyi letupan dan gegaran yang berlaku di Ipoh sehingga kini masih dikategorikan sebagai misteri, selain polis masih melakukan siasatan terperinci berhubung kejadian itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.