Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Polis Malaysia sahkan bekas timbalan menteri disiasat bagi pemerdagangan manusia berada di Myanmar

Anggaran Waktu Membaca:
Polis Malaysia sahkan bekas timbalan menteri disiasat bagi pemerdagangan manusia berada di Myanmar

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 04 Sep 2024 10:05AM Dikemas Kini : 04 Sep 2024 04:53PM
KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan bahawa bekas timbalan menteri yang terlibat dalam siasatan pemerdagangan manusia berada di Myanmar bagi urusan pelaburan hartanah, lapor The Star. 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain bagaimanapun mengatakan bahawa, polis sedang menyiasat Dr Mashitah Ibrahim berkaitan dakwaan aktiviti-aktiviti pemerdagangan manusia.

"Siasatan mendedahkan bahawa Mashitah ke Myanmar atas urusan pelaburan hartanah di Myawaddy, Myanmar.

"Kami dapat menyemak dan mengesahkannya. Ini setelah mendapatkan kenyataannya minggu lalu," kata beliau ketika dihubungi pada Selasa (3 Sep), menurut laporan The Star. 

Encik Mohd Shuhaily berkata bahawa CID meneruskan siasatan mengenai dakwaan pemerdagangan manusia yang melibatkan warga Malaysia di Myanmar.

"Kami juga mencatat kenyataan seorang individu dengan pangkat Datuk Seri berkaitan kes yang sama" katanya, menambah bahawa polis telahpun mendapatkan kenyataan daripada lima individu, termasuk Mashitah.

"Kami juga akan mendapatkan kenyataan seorang 'blogger' Indonesia hari ini, yang akan dilakukan menerusi online kerana lokasinya di Jakarta," tambahnya.

Siasatan turut melibatkan mengenal pasti individu lain yang terlibat dalam kes berkenaan.

Encik Mohd Shuhaily menasihati orang awam agar bersikap waspada apabila menerima tawaran pekerjaan daripada luar negara, terutama negara yang dikenali dengan penipuan.

"Pemeriksaan dan pengesahan tawaran harus dilakukan menerusi saluran rasmi, seperti Kementerian Ehwal Dalam Negeri atau Jabatan Buruh," katanya, seperti ditukil laporan The Star. 

Pada 28 Ogos bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri dilaporkan dalang satu sindiket pemerdagangan manusia antarabangsa di Myanmar.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Antarabangsa Malaysia Hishamuddin Hashim dilaporkan berkata bahawa wanita tersebut dan suaminya memegang jawatan penting sebagai pegawai kanan keselamatan dalam sebuah syarikat dan dipercayai terlibat sejak awal 2020.

Baru-baru ini, video yang mendedahkan sindiket itu menjadi viral di YouTube di Indonesia, menunjukkan bahawa ramai warga Indonesia yang telahpun menjadi mangsa operasinya, termasuk kerja paksa, penyeksaan, penyeludupan organ serta pembunuhan.

Mashitah sejak itu menafikan dakwaan itu.
 
Sumber : Agensi berita/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan