Skip to main content

Dunia

Polis Malaysia rampas lebih 18,000kg dadah dalam serbuan sindiket antarabangsa

Anggaran Waktu Membaca:
 Polis Malaysia rampas lebih 18,000kg dadah dalam serbuan sindiket antarabangsa
(Gambar: Facebook/Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik PDRM)
Diterbitkan : 20 Dec 2025 05:53PM Dikemas Kini : 20 Dec 2025 05:55PM
  • Sindiket dadah antarabangsa berjaya ditumpaskan selepas polis Malaysia merampas lebih 18,000 kilogram (kg) dadah bernilai RM1.53 bilion (S$366.5 juta), dalam salah satu rampasan dadah terbesar dalam sejarah negara itu.
  • Rampasan tersebut termasuk 3kg methylenedioxymethamphetamine (MDMA) yang lebih dikenali sebagai ekstasi, 4,041kg kokain dan 14,493kg ketamin, menurut Free Malaysia Today (FMT).
  • Enam suspek - tiga lelaki warga Malaysia dan tiga wanita warga asing berusia antara 24 hingga 39 tahun - sudah ditahan.
  • Dadah dan barangan seludup dengan anggaran nilai pasaran gelap sebanyak RM3.1 bilion (S$985.4 juta) sudah dirampas di Malaysia tahun ini, antara Januari hingga 18 Disember.
Dijana oleh AI
KUALA LUMPUR: Sindiket dadah antarabangsa berjaya ditumpaskan selepas polis Malaysia merampas lebih 18,000 kilogram (kg) dadah bernilai RM1.53 bilion (S$366.5 juta), dalam salah satu rampasan dadah terbesar dalam sejarah negara itu.

Media tempatan melaporkan pada Sabtu (20 Jan) bahawa beberapa serbuan di Lembah Klang pada 16 Disember membongkar sebuah makmal pemprosesan dadah berskala besar yang terletak di sebuah banglo tiga tingkat, selain beberapa premis lain yang digunakan untuk penyimpanan dadah.

Rampasan tersebut termasuk 3kg methylenedioxymethamphetamine (MDMA) yang lebih dikenali sebagai ekstasi, 4,041kg kokain dan 14,493kg ketamin, menurut Free Malaysia Today (FMT).

“Ia sememangnya antara rampasan dadah terbesar pernah dicatat,” kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Hussein Omar Khan, seperti dipetik oleh The Star.

“Dadah ini berpotensi dibekalkan kepada 68.5 juta pengguna,” katanya.

Enam suspek - tiga lelaki warga Malaysia dan tiga wanita warga asing berusia antara 24 hingga 39 tahun - sudah ditahan.

“Tiga wanita warga asing yang ditahan merupakan teman wanita kepada suspek lelaki,” kata Encik Hussein.

Ujian saringan awal dadah mendapati beberapa suspek positif ketamin dan methamphetamine.

Encik Hussein berkata seorang suspek bertindak sebagai ketua penjaga stor, dan pembantu kepada “ahli kimia” itu, lapor FMT.

Dua lagi suspek bertanggungjawab menguruskan rumah kediaman dan premis perniagaan yang digunakan sebagai makmal dadah haram.

Sindiket tersebut dipercayai aktif sejak April, dengan menggunakan rumah kediaman dan premis perniagaan untuk memproses dadah bagi pasaran antarabangsa.

“Siasatan kami menunjukkan sindiket ini telah membuat beberapa penghantaran ke luar negara sebelum serbuan dilakukan,” tambah Encik Hussein.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sekurang-kurangnya 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Dadah dan barangan seludup dengan anggaran nilai pasaran gelap sebanyak RM3.1 bilion (S$985.4 juta) sudah dirampas di Malaysia tahun ini, antara Januari hingga 18 Disember, menurut New Straits Times.

Operasi tersebut membawa kepada pembongkaran 270 sindiket pengedaran dadah dan penahanan 737 individu.
Sumber : Agensi berita/IM/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita