Skip to main content

Dunia

Polis Malaysia rakam keterangan Dr Mahathir

Anggaran Waktu Membaca:
Polis Malaysia rakam keterangan Dr Mahathir

Bekas perdana menteri Malaysia, Mahathir Mohamad. (Gambar fail: Behrouz Mehri/AFP)

KUALA LUMPUR: Mantan Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad pada Selasa (29 Ogos) dirakam keterangan bagi membantu siasatan berhubung kenyataan berunsur penghinaan terhadap institusi raja seperti yang disiarkan sebuah portal berita pada 6 Jun lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata turut diambil keterangan bagi membantu siasatan adalah bekas Pengerusi Pejuang Wilayah Persekutuan Khairuddin Abu Hassan dan mantan Timbalan Presiden Pejuang Marzuki Yahya.

Beliau berkata kes masih di peringkat siasatan dan orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi atau berkongsi maklumat yang salah hingga mengganggu proses siasatan. 

“Kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan pada Selasa malam.

Encik Mohd Shuhaily dalam kenyataan berasingan juga mengesahkan telah menjalankan siasatan terhadap pemilik atau pengendali akaun Facebook Iman Mustaqim yang memuat naik hantaran berbaur penghinaan terhadap Sultan Selangor pada Isnin (28 Ogos).

Menurutnya hantaran di Facebook tersebut berkecenderungan menghasut bagi mendatangkan penghinaan atau membangkitkan perasaan tidak setia terhadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Beliau berkata kes turut disiasat oleh unit yang sama di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Kes berkenaan juga masih di peringkat siasatan dan orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi atau berkongsi maklumat yang salah sehingga mengganggu proses siasatan,” katanya.
 
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita