Skip to main content

Dunia

Polis Malaysia perlu lebih masa siasat keluarga suspek serang Balai Polis Ulu Tiram

Anggaran Waktu Membaca:
Polis Malaysia perlu lebih masa siasat keluarga suspek serang Balai Polis Ulu Tiram

Menteri Dalam Negeri Malaysia, Saifuddin Nasution Ismail. (Gambar fail: Bernama)

Diterbitkan : 27 May 2024 06:56PM
JOHOR BAHRU: Polis Malaysia memerlukan tempoh lebih panjang untuk melakukan siasatan lanjut dan menyeluruh terhadap insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, pada 17 Mei lalu.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata penahanan lima anggota keluarga suspek serangan itu di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) relevan kerana tindakan membunuh anggota polis adalah satu perbuatan yang sangat serius, sekali gus menggugat keselamatan rakyat.

"Lebih-lebih lagi reaksi Singapura memperketat kawalan keselamatan pintu masuk negara mereka susulan insiden ini.

"Jadi ke arah itu, beberapa akta yang kita guna pakai misalnya pada peringkat awal penahanan kita guna akta Kanun Keseksaan dan tempoh tahanan (mengikut akta itu) belum dapat menyelesaikan semua urusan (siasatan).

"Berdasarkan magnitud kes ini, pasukan polis memerlukan tempoh yang lama untuk menyempurnakan siasatan bagi memastikan isu keselamatan dan keamanan rakyat terjamin," katanya pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Kesesakan di Tambak Johor Bil.1 2024 dan lawatan ke Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin Bangunan Sultan Iskandar pada Isnin (27 Mei).

Beliau berkata demikian menjawab soalan para wartawan berkaitan justifikasi penahanan lima ahli keluarga suspek kejadian serangan di Balai Polis Ulu Tiram itu mengikut Sosma.

Pada Jumaat lalu, Ketua Polis Negara Razarudin Husain dilaporkan berkata kelima-lima individu terbabit ditahan mengikut Sosma selepas tempoh reman mereka tamat pada Jumaat.

Sebelum ini, tujuh individu terdiri daripada dua penuntut institusi pengajian tinggi dan lima anggota keluarga suspek berusia dalam lingkungan 19 hingga 62 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dua penuntut terbabit bagaimanapun dibebaskan tanpa syarat, Rabu lalu.

Dalam kejadian serangan pada 17 Mei lalu, dua anggota polis Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22 tahun, dan Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24 tahun, meninggal dunia manakala suspek berusia 21 tahun mati ditembak.

Serangan berkenaan turut menyebabkan Koperal Mohd Hasif Roslan, 38 tahun, cedera terkena tembakan pada bahu dan pinggul.
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita