Skip to main content

Dunia

Polis Malaysia perketat kawalan di bangunan kerajaan, tempat tumpuan susuli serangan balai polis Ulu Tiram

Anggaran Waktu Membaca:
PETALING JAYA: Polis memperketatkan kawalan di bangunan kerajaan, tempat tumpuan awam dan kemudahan berkepentingan susulan beberapa insiden serangan dan ancaman baru-baru ini.

Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Azmi Abu Kassim, berkata justeru pihaknya sentiasa bersiap siaga dan memperketatkan kawalan keselamatan pada tahap tertinggi.

“Ketua polis negara (KPN) telah mengarahkan semua peringkat kepimpinan PDRM serta petugas di lapangan mengambil langkah komprehensif semasa menjalankan tugas dengan mematuhi pekeliling, prosedur operasi standard (SOP) dan arahan semasa yang dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan, lapor Free Malaysia Today.

Beliau berkata, pihaknya memandang serius beberapa insiden serangan dan ancaman yang berlaku di tempat awam, termasuk beberapa lokasi sensitif dan premis kerajaan sehingga menimbulkan kegusaran kepada masyarakat umum mengenai tahap keselamatan dan ketenteraman negara.

Encik Azmi mengingatkan masyarakat supaya terus bekerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan isu keselamatan negara kepada pihak berkuasa, dipetik daripada Free Malaysia Today.

“Polis tidak akan bertolak ansur kepada anasir yang cuba mengancam keselamatan dan mengganggu gugat ketenteraman awam. Tindakan tegas berlandaskan lunas undang-undang akan diambil tanpa mengira status dan latar belakang mereka yang terlibat,” katanya, menurut Free Malaysia Today.

Pada 17 Mei lalu, Balai Polis Ulu Tiram, Johor, diserang sehingga mengorbankan dua anggota masing-masing berusia 22 dan 24 tahun, manakala pada 19 Mei seorang lelaki cuba menyerang anggota di Balai Polis Dato Keramat, Pulau Pinang.

Dalam pada itu, dua lelaki ditahan kerana cuba menceroboh masuk Istana Negara pada 17 Mei.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita