Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Polis Malaysia pantau 39 lagi rumah amal disyaki milik GISBH

Anggaran Waktu Membaca:
Polis Malaysia pantau 39 lagi rumah amal disyaki milik GISBH

Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) di Rawang, Selangor. (Gambar: Google Maps)

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang memantau rapi 39 lagi rumah amal di seluruh negara yang dipercayai milik syarikat GISB Holdings (GISBH).

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata, beliau tidak menolak kemungkinan ada tindakan lanjut oleh pihak polis terhadap premis berkenaan menyusuli serbuan ke atas 20 rumah amal berkaitan GISBH pada Rabu lalu (11 Sep).

"Sebanyak 39 lagi rumah amal dalam radar Polis Diraja Malaysia, susulan siasatan berhubung dakwaan eksploitasi dan penderaan kanak-kanak," katanya ketika dihubungi pada Sabtu (14 Sep).

Mengulas lanjut, beliau berkata, serbuan terhadap 20 rumah amal itu adalah hasil risikan dan siasatan selama enam bulan, menurut laporan Sinar Harian. 

"Kita telah menyiasat syarikat itu sejak 2011 susulan beberapa laporan polis, sebelum dakwaan terhadap syarikat tersebut tular di media sosial baru-baru ini," katanya.

Encik Razarudin berkata, beliau bertemu dengan wakil Pusat Kajian Ajaran Sesat (Pukas) enam bulan lalu, lapor Sinar Harian. 

"Mereka turut memberikan maklumat awal, ia termasuk satu laporan yang dibuat oleh bekas ahli syarikat itu dari Negeri Sembilan yang kemudiannya ditarik balik.

"Wanita itu kemudiannya membuat laporan baharu dan polis membuka siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya.

Beliau berkata, wanita itu memberi 'petunjuk' yang boleh dipercayai untuk tindakan selanjutnya.

"Saya menyeru individu yang pernah membuat laporan sebelum ini dan menarik balik berkaitan kes itu, supaya tampil bagi membantu siasatan.” katanya, menurut laporan Sinar Harian. 

Pada Rabu, media melaporkan mangsa terdiri daripada 201 kanak-kanak lelaki dan 201 kanak-kanak perempuan berusia setahun hingga 17 tahun disyaki menjadi mangsa eksploitasi, pengabaian dan penganiayaan di premis dipercayai milik GISBH.

Seramai 10 daripada 402 kanak-kanak yang merupakan kanak-kanak autistik, Orang Kurang Upaya (OKU) dan sakit telah diserahkan di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Encik Razarudin dilaporkan berkata, dalam operasi Ops Global yang dijalankan dari pukul 6.00 pagi hingga 11.00 pagi itu, pihaknya turut menahan 171 individu terdiri daripada tenaga pengajar, penjaga asrama dan pengerusi pusat pengajian.
Sumber : Agensi berita/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan