Skip to main content

Dunia

Polis Malaysia kesan dadah sintetik 'Piu Piu'; gesa vape segera diharamkan

Anggaran Waktu Membaca:
Polis Malaysia kesan dadah sintetik 'Piu Piu'; gesa vape segera diharamkan

Pelbagai alat vape pakai buang dipamerkan di sebuah kedai di Johor Bahru, Malaysia pada 26 November 2024. (Gambar: CNA/Zamzahuri Abas)

Diterbitkan : 11 Jun 2026 10:05PM Dikemas Kini : 11 Jun 2026 10:06PM
KUALA LUMPUR: Kemunculan dadah sintetik baharu yang dikenali sebagai "Piu Piu” di pasaran dikesan dalam cecair vape dan ini membuktikan ia wajar diharamkan.

​Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay berkata ini kerana dadah tersebut mengandungi campuran Fentanyl dan bahan kimia psikoaktif yang boleh memberikan kesan khayal teruk seumpama "zombie” pada penghisapnya.

Beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) melihat penggunaan vape kini sudah disalahgunakan secara meluas oleh sindiket-sindiket pengedaran dadah sebagai modus operandi mereka untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

​"Isu utama pada masa ini bukanlah sama ada vape itu satu peluang perniagaan untuk golongan tertentu atau tidak, tetapi isunya alat itu disalahgunakan secara berbahaya dengan dicampurkan bersama dadah baharu atau New Psychoactive Substances (NPS).

​"Vape kini sudah menjadi satu kebanggaan kepada golongan remaja, jadi kita perlu sekat gejala ini dari awal. Banyak negara luar telah pun mengharamkannya, oleh itu Malaysia juga perlu mempunyai kehendak politik (political will) untuk membanterasnya," katanya hari ini (11 Jun).

​​Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas menghadiri Program Lawatan Hospital sempena Peringatan Hari Polis Ke-219 di Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-Kanak (HPKK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

​Mengulas lanjut, Encik Ayob Khan berkata PDRM bagaimanapun tidak mempunyai kuasa mutlak untuk terus mengharamkan vape kerana ia turut melibatkan bidang kuasa kementerian lain seperti Kementerian Kesihatan (KKM).

Beliau berkata Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) akan terus melaksanakan pemantauan dan operasi berskala besar secara berterusan, termasuk ke atas premis penjualan vape bagi membanteras dadah terbaharu itu.
Sumber : Bernama/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita