Skip to main content

Dunia

Polis Malaysia jejak 4 suspek rompakan bersenjata babitkan jam tangan mewah di restoran JB

Polis Johor sedang giat mengesan empat suspek, selepas mereka merompak pekerja peruncit jam tangan mewah di sebuah restoran Johor Bahru ketika menunggu pelanggannya yang mahu membeli jam tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
Polis Malaysia jejak 4 suspek rompakan bersenjata babitkan jam tangan mewah di restoran JB

Rompakan bersenjata berlaku di Monet Music Restaurant di Taman Mount Austin, Johor Bahru pada 8 Jun 2022. (Gambar: CNA/Amir Yusof)

Diterbitkan : 13 Jun 2022 08:23PM
JOHOR BAHRU: Polis Johor sedang giat mengesan empat suspek, selepas mereka merompak pekerja peruncit jam tangan mewah di sebuah restoran Johor Bahru ketika menunggu pelanggannya yang mahu membeli jam tersebut.

Cik Chan Jia Yi, seorang pelayan di Restoran Monet Music di Taman Mount Austin pada Rabu lalu (8 Jun), memberitahu Mediacorp bahawa suspek yang bertopeng itu telah memasuki kedai makan itu dari pintu belakang sambil menghayunkan parang.

Dia menceritakan bagaimana salah seorang suspek mengacukan senjata tajam itu ke mukanya dan memberi isyarat supaya dia bergerak ke tepi.

"Saya terkaku dalam ketakutan," kata Cik Chan ketika ditemu bual pada hari Isnin (13 Jun). "Saya rasa hidup saya dalam bahaya.”

Bagaimanapun, empat lelaki itu bergerak ke dalam bilik VIP peribadi, di mana transaksi perniagaan melibatkan jam tangan mewah akan berlaku.

Seorang lelaki dan seorang wanita, yang mewakili sebuah syarikat jam tangan, berada di dalam bilik itu bersama seorang lagi lelaki yang merupakan pengawal peribadi mereka,” kata Cik Chan.

Menurutnya, lelaki bertopeng itu kemudian mengelar dua lelaki di dalam bilik tersebut, sebelum merampas tiga jam tangan mewah dan sebentuk cincin emas. Perompak itu kemudian melarikan diri melalui pintu belakang yang sama.

"Semuanya berlaku dalam sekelip mata - dua hingga tiga minit," tambah Cik Chan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Khamis lalu, polis Johor berkata pihaknya sedang mengesan empat suspek lelaki yang disyaki terlibat dalam rompakan bersenjata.

Kenyataan itu menggambarkan suspek sebagai "tinggi dan kurus", memakai topeng hitam dan membawa parang.

Polis menyatakan, suspek melarikan diri dengan menaiki kereta Toyota Estima berwarna kelabu. Tiga jam tangan Rolex dan sebentuk cincin emas juga dicuri, tambah kenyataan itu.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, pegawai yang bertanggungjawab bagi kes itu Inspektor Satishkuru A/L Kandasamy berkata polis masih menjalankan siasatan.

Tiga individu yang disamun adalah pekerja peruncit jam tangan tempatan V-Time. Pengarah V-Time, Encik Jimmy Cai, memberitahu Mediacorp bahawa salah seorang pekerjanya yang cedera lengannya semasa kejadian itu terpaksa menjalani pembedahan.

Encik Cai berkata jam tangan yang dicuri itu bernilai kira-kira RM500,000 (S$156,000)secara keseluruhan.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita