Polis Malaysia buka kertas siasatan berhubung nahas bas ekspres di Selangor
Polis membuka kertas siasatan kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres yang terbabas sehingga menyebabkan seorang penumpang maut manakala 28 lagi cedera, pada awal pagi Sabtu (11 Okt).
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof. (Gambar: Bernama)
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata pihaknya menerima laporan kejadian pada pukul 3.15 pagi dengan bas ekspres tersebut dalam perjalanan dari Boon Lay, Singapura ke Ipoh, Perak.
“Bas dipandu lelaki tempatan berusia 60 tahun itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam parit dan melanggar tiang di KM293 Lebuhraya Utara-Selatan (arah Kuala Lumpur).
“Bas dinaiki 29 orang termasuk pemandu, terdiri daripada 24 warga tempatan dan lima warga Singapura,” kata beliau dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Encik Naazron berkata kejadian menyebabkan para penumpang di kerusi hadapan, lelaki tempatan berusia 59 tahun yang merupakan pekerja pembinaan di Singapura maut akibat cedera parah di kepala.
Mereka yang cedera termasuk pemandu dan pemandu simpanan kini dirawat di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang; Hospital Tengku Permaisuri Norashikin, Kajang; Hospital Putrajaya dan Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga mengakibatkan kematian yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda maksimum RM50,000 (S$15,410.84) serta hilang kelayakan memegang lesen memandu tidak kurang lima tahun, jika sabit kesalahan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.