Skip to main content

Dunia

Polis Malaysia berkas 6 individu disyaki terbabit aktiviti pelampau berkaitan ISIS

Polis Malaysia memberkas enam individu berusia antara 16 hingga 21 tahun kerana disyaki terbabit dalam kegiatan pelampau yang ada kaitannya dengan kumpulan ISIS di beberapa negeri – dan turut memberi amaran bahawa lebih banyak penangkapan mungkin dilakukan.
Anggaran Waktu Membaca:
Polis Malaysia berkas 6 individu disyaki terbabit aktiviti pelampau berkaitan ISIS
Anggota polis berkawal semasa satu tunjuk perasaan di Kuala Lumpur pada 26 Oktober 2025. (Gambar fail: AFP/Mukhriz Hazim)
Diterbitkan : 07 Mar 2026 05:52PM
  • Polis Malaysia menahan enam individu tempatan berusia 16 hingga 21 tahun, termasuk tiga remaja bawah umur, kerana disyaki terlibat dengan kumpulan ISIS.
  • Operasi khas dijalankan serentak di Lembah Klang, Johor, Kedah dan Terengganu antara 14 hingga 15 Februari, dan dilaporkan pada 6 Mac.
  • Penangkapan dibuat selepas risikan mendapati kegiatan radikalisasi online, penyebaran ideologi pelampau serta usaha merekrut anggota dan perbincangan serangan.
  • Pihak berkuasa merampas barangan berkaitan ekstremisme dan memastikan hak remaja bawah umur dilindungi mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 dan konvensyen antarabangsa.
Dijana oleh AI
KUALA LUMPUR: Polis Malaysia memberkas enam individu berusia antara 16 hingga 21 tahun kerana disyaki terbabit dalam kegiatan pelampau yang ada kaitannya dengan kumpulan ISIS di beberapa negeri – dan turut memberi amaran bahawa lebih banyak penangkapan mungkin dilakukan.

Penangkapan enam warga tempatan itu – termasuk tiga remaja bawah umur – dalam operasi khas berkenaan berlaku antara 14 hingga 15 Februari, namun pertama kali dilaporkan pada Jumaat (6 Mac).

Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail memberitahu media tempatan bahawa satu operasi dilancarkan secara serentak di beberapa lokasi di Lembah Klang, Johor, Kedah dan Terengganu.

Penangkapan tersebut menyusuli penemuan risikan yang dikesan melalui kegiatan radikalisasi online, termasuk penyebaran ideologi pelampau, usaha merekrut anggota serta perbincangan berhubung kemungkinan melancarkan serangan.

“Tiga daripada mereka yang diberkas berusia bawah 18 tahun,” kata Encik Khalid seperti yang ditukil New Straits Times, sambil menambah penangkapan itu dibuat di bawah peruntukan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

SOSMA merupakan undang-undang di Malaysia yang digunakan untuk menangani ancaman keselamatan serius.

Ia membenarkan penahanan selama tempoh 28 hari setiap kali, dan boleh diperbaharui melalui perintah mahkamah.

Sementara itu, hukuman yang bakal dihadapi bergantung kepada kesalahan yang disabitkan, sekiranya mereka didakwa.

“Pada masa yang sama, polis memastikan hak mereka yang berusia di bawah 18 tahun dilindungi selaras dengan Akta Kanak-Kanak 2001 serta konvensyen antarabangsa mengenai hak kanak-kanak.

“Anggota kami juga menjalankan pemeriksaan di beberapa lokasi yang dikaitkan dengan suspek selepas penangkapan mereka,” kata Encik Khalid.

Semasa pemeriksaan dijalankan, pihak berkuasa merampas beberapa barangan yang dipercayai terkait dengan kegiatan ekstremis, termasuk 11 telefon bimbit, dua komputer riba dan satu cakera keras.

“Polis juga merampas empat bendera ISIS, sehelai baju dengan logo ISIS serta tiga buku yang mengandungi bahan berkaitan pelampau,” katanya sambil merujuk kepada kumpulan ISIS.
Sumber : Agensi berita/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita