Skip to main content

Dunia

Polis Malaysia berkas 3 rakyat SG dalam serbuan cecair vape kokain bernilai RM7.2 juta

Anggaran Waktu Membaca:
Polis Malaysia berkas 3 rakyat SG dalam serbuan cecair vape kokain bernilai RM7.2 juta

Sebilangan pegawai polis Malaysia berdiri di hadapan rampasan daripada serbuan cecair vape kokain baru-baru ini. (Gambar: Facebook/Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik PDRM)

KUALA LUMPUR: Cubaan satu sindiket antarabangsa menyeludup dadah jenis kokain dalam bentuk katrij vape melalui Malaysia terbongkar apabila polis berjaya menahan empat individu dan merampas hampir 5,000 katrij bernilai RM 7.2 juta (S$2.2 juta) dalam serbuan di Ampang Jaya, Khamis (19 Jun) lalu.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali berkata suspek terdiri daripada seorang lelaki tempatan berusia 57 tahun dan tiga lelaki warga Singapura berumur antara 25 hingga 46 tahun.

Beliau berkata dalam serbuan kira-kira 11.45 pagi itu, pasukan JSJN menahan sebuah Toyota Vellfire di kawasan tempat letak kereta sebuah hotel di ibu negara dan menemui 10 kotak mengandungi 4,958 katrij vape disyaki mengandungi cecair kokain dengan anggaran berat 9,420 mililiter (ml).

“Dadah berkenaan dianggarkan bernilai RM7.2 juta dan siasatan mendapati sindiket itu menjadikan Malaysia sebagai persinggahan sebelum penghantaran melalui perkhidmatan kurier udara ke pasaran antarabangsa,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, pada Isnin (23 Jun).

Menurut Encik Mat Zani, siasatan awal mendapati sindiket terbabit yang dipercayai aktif sejak Mac lalu menyewa sebuah premis kondominium Airbnb di Ampang dengan kadar RM300 (S$90) sehari sebagai lokasi memproses dan membungkus katrij kokain bagi penghantaran ke luar negara.

“Setiap katrij vape yang mengandungi 1.9ml cecair kokain boleh dijual pada harga sekitar RM1,500 (S$450) seunit di pasaran antarabangsa, memandangkan dadah jenis kokain ini sukar diperoleh di rantau Asia Tenggara kerana harganya yang mahal dan biasanya digunakan oleh golongan elit,” katanya.

Beliau berkata pemeriksaan lanjut mendapati seorang suspek positif dadah jenis ketamin manakala dua lagi mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes narkotik.

“Selain rampasan dadah, polis turut menyita pelbagai barangan bernilai RM2,975 (S$900) untuk tindakan pelucuthakan harta, menjadikan jumlah keseluruhan sitaan dan rampasan dalam operasi ini RM7.29 juta. 

“Ini adalah kes pertama rampasan dadah jenis kokain dalam bentuk katrij vape yang dikesan di Malaysia dan kami percaya modus operandi ini digunakan bagi mengaburi pihak berkuasa serta memudahkan penghantaran ke luar negara,” katanya.

Kesemua suspek kini direman tujuh hari bermula 20 hingga 26 Jun ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita