Skip to main content

Dunia

Polis Malaysia akan tahan individu terlibat rusuhan di stesen LRT Kuala Lumpur

Anggaran Waktu Membaca:
Polis Malaysia akan tahan individu terlibat rusuhan di stesen LRT Kuala Lumpur
Diterbitkan : 28 Dec 2024 04:40PM Dikemas Kini : 28 Dec 2024 04:42PM
JEMPOL: Polis Malaysia akan menahan beberapa lagi individu bagi membantu siasatan membabitkan kes pergaduhan dua kumpulan penyokong bola sepak di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur.

Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Mohd Isa berkata setakat ini, lapan individu berusia antara 20 hingga 24 tahun sudah ditahan hasil pengecaman wajah dan gambar menerusi video tular.

"Kita sedang melengkapkan siasatan dan akan menjejaki beberapa individu lain. Berdasarkan rakaman yang jelas, Insya-Allah kita akan buat tangkapan. Jika terdapat gambar yang tidak dapat dikenal pasti, kita akan keluarkan kenyataan media untuk meminta bantuan orang ramai.

"Arahan saya jelas, tangkap semua yang terlibat dalam insiden ini, terutamanya mereka yang mencetuskan pergaduhan. Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku di negara ini," katanya.
Dalam perkembangan lain, Encik Rusdi berkata pihak polis akan meningkatkan kawalan keselamatan, termasuk di sekitar KLCC, Bukit Bintang, Dataran Merdeka, serta kawasan-kawasan lain di ibu negara sempena sambutan Tahun Baharu.

"Persediaan ini telah dilakukan sejak sebelum sambutan perayaan Krismas lagi. Sudah tentu ramai yang akan hadir untuk sambutan tersebut, dan keadaan mungkin menjadi sesak. Oleh itu, kita meminta orang ramai untuk mematuhi peraturan yang ada, selain kita juga menambah jumlah anggota polis yang berkawal di kawasan tumpuan," katanya.
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita