Polis M'sia tembak mati 4 suspek samun yang gilis penghantar GrabFood semasa larikan diri
Empat lelaki yang dipercayai menyamun sebuah rumah di Rawang dekat Sungai Buloh hari ini (25 Dis), mati ditembak oleh polis ketika cuba melarikan diri dalam kejadian tengah hari Jumaat (25 Dis).
(Gambar: BERNAMA)
SUNGAI BULOH: Empat lelaki yang dipercayai menyamun sebuah rumah di Rawang dekat Sungai Buloh hari ini (25 Dis), mati ditembak oleh polis ketika cuba melarikan diri dalam kejadian tengah hari Jumaat (25 Dis).
Pemangku Ketua Polis Selangor Arjunaidi Mohamed berkata dalam kejadian kira-kira 1.00 tengah hari itu, pasukan polis yang menerima maklumat tentang kejadian tersebut terserempak dengan sebuah kereta jenis Perodua Axia yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.
Menyusuli itu, pasukan kereta peronda polis tersebut bertindak mengekori kereta suspek hingga ke sebatang jalan berhampiran Hospital Sungai Buloh sebelum mengarahkan suspek memberhentikan kenderaan, namun suspek enggan, memaksa polis mengejar kereta mereka hingga ke Jalan Kuala Selangor di sini.
“Kereta yang dinaiki suspek kemudian merempuh sebuah motosikal GrabFood ditunggang seorang wanita tempatan sebelum menggilis dan mengheret mangsa sejauh beberapa meter.
“Apabila suspek merempuh mangsa, suspek tidak boleh ke depan lalu cuba merempuh mangsa buat kali kedua, memaksa polis melepaskan beberapa das tembakan ke arah kereta suspek untuk menyelamatkan mangsa daripada dirempuh,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
Encik Arjunaidi berkata seorang daripada suspek kemudian keluar dari kereta sambil memegang parang menyebabkan polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan lagi yang mengenai kesemua suspek.
Kesemua mereka disahkan mati di tempat kejadian.
Beliau berkata semakan mendapati kesemua lelaki itu yang berusia dalam lingkungan 20-an merupakan kumpulan samun bertopeng yang dikehendaki polis.
“Kami percaya kesemua suspek terlibat dengan lebih 50 kes samun di sekitar Selangor sejak awal tahun ini dan dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau lari daripada sekatan polis yang disiasat di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) di Johor Bahru,” katanya.
“Modus operandi yang digunakan suspek untuk menyamun ialah menyasarkan rumah yang tidak berpagar dengan memakai topeng muka dan topi keledar serta bersenjatakan parang,” katanya sambil menambah bahawa kereta yang dinaiki suspek juga mempunyai rekod digunakan dalam kes samun di Petaling Jaya.
Encik Arjunaidi berkata pemeriksaan ke atas kereta suspek menemukan beberapa bilah parang, barangan kemas, wang tunai, beberapa topi keledar dan pakaian hitam dipercayai digunakan suspek dalam kegiatan jenayah mereka.
Beliau berkata polis sedang memburu saki-baki ahli kumpulan itu.
Ditanya mengenai keadaan penunggang GrabFood yang dirempuh, Encik Arjunaidi berkata mangsa mengalami kecederaan pada beberapa bahagian badan dan dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.