Polis M'sia tahan 8 anggota kumpulan Abu Sayyaf di Sabah
Polis dan anggota keselamatan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) menahan lapan ahli kumpulan Abu Sayyaf warganegara Filipina, termasuk dua yang dikehendaki pihak berkuasa negeri itu, dalam operasi khas di Taman Sri Arjuna, Beaufort, Sabtu lalu (8 Mei).
(Gambar: BERNAMA)
KOTA KINABALU: Polis dan anggota keselamatan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) menahan lapan ahli kumpulan Abu Sayyaf warganegara Filipina, termasuk dua yang dikehendaki pihak berkuasa negeri itu, dalam operasi khas di Taman Sri Arjuna, Beaufort, Sabtu lalu (8 Mei).
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata mereka ditahan bersama 29 lagi individu, semuanya warganegara Filipina, dalam operasi di kawasan paya bakau pada 3.00 pagi itu.
"Kita telah semak dengan pasukan keselamatan Filipina dan mereka mengesahkan lapan lelaki itu ahli kumpulan Abu Sayyaf yang melarikan diri ke Sabah hasil operasi dijalankan pasukan keselamatan Filipina di selatan negara tersebut.
"Semakan dengan pihak Filipina juga mendapati dua daripada ahli kumpulan Abu Sayyaf itu dinamakan dalam senarai orang dikehendaki kerajaan Filipina," katanya semasa sidang media yang turut dihadiri Komander ESSCom Ahmad Fuad Othman di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, di Kota Kinabalu, pada Isnin (10 Mei).
Encik Hazani berkata siasatan awal mendapati mereka yang ditahan itu tidak terlibat dengan kegiatan menculik untuk wang tebusan di negeri ini dan dipercayai mereka mahu menjadikan Sabah sebagai tempat persembunyian.
Beliau menambah operasi itu merupakan kerjasama pihak polis, ESSCom serta pasukan keselamatan Filipina, dan mereka yang ditahan telah direman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan.
"Ketika ditahan, kami menemui beberapa dokumen antaranya resit pengenalan sementara Malaysia yang dipercayai palsu… Kami juga percaya mereka ada bawa senjata api dari Filipina tetapi tidak ditemui ketika ditahan jadi kami mahu cari di mana mereka sembunyikan senjata api itu.
"Kita mahu cari siapa 'established contact' mereka di Sabah ini, berapa lama sudah berada di sini dan laluan mereka ke sini…perlu diingatkan mereka yang didapati bersekongkol boleh diambil tindakan mengikut undang-undang kerana bersubahat," katanya.
Encik Hazani menambah dua ahli kumpulan Abu Sayyaf yang berada dalam senarai dikehendaki Pemerintah Filipina kerana pernah terlibat dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan negara itu selain turut terbabit dalam beberapa kes penculikan warga asing di Filipina.
Sebagai langkah keselamatan segera, beliau mengarahkan semua ketua polis daerah negeri ini supaya mengenal pasti dan mengambil tindakan segera terhadap petempatan haram yang didirikan terutamanya di kawasan pedalaman serta paya bakau.
Beliau berkata polis akan berkerjasama dengan pihak berkuasa tempatan bagi melaksanakan langkah itu dan hingga kini menurutnya sebanyak 624 kawasan petempatan haram sudahpun dikenal pasti dengan lebih 90 merupakan perkampungan atas air.
POLIS NASIHAT KENAL PASTI PENDUDUK KAMPUNG; JANGAN AMBIL PEKERJA SESUKA HATI
"Sehubungan itu, saya menggesa semua ketua kampung dan masyarakat supaya mengenal pasti penduduk kampung mereka, ada orang baharu sebagainya dan lapor kepada pihak berkuasa jika ada mencurigakan supaya boleh kita sama-sama buat pemeriksaan.
"Majikan jangan sesuka hati ambil pekerja tanpa siasat latar belakang, dikhuatiri mereka ini bekas pengganas. Kami polis Sabah juga sedang berbincang dengan ESSCom bagi mengukuhkan kawalan keselamatan terutama di laut serta mengadakan operasi cegah pendatang haram," tegas beliau.
Sejak 2014 hingga tahun lalu, tambah beliau, seramai 83 anggota kumpulan pengganas ditahan polis Sabah dengan bantuan pasukan keselamatan dan kebanyakan mereka ditahan di kawasan pedalaman pantai barat Sabah.
Encik Hazani berkata mereka memilih menjadikan pantai barat barat Sabah sebagai kawasan persembunyian kerana takut dengan kawalan ketat dilakukan ESSCom di kawasan pantai timur negeri itu.
"Hanya ada dua kes sahaja ditangkap di Semporna dan di Sandakan (pantai timur), yang lain semua ditangkap di pedalaman pantai barat...kami akan perincikan balik dengan ESSCom laluan yang digunakan mereka terutama bagi penyeludupan barangan dan penyeludupan manusia," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.