Polis M'sia siasat video penceramah bebas hina agama, kaum lain
Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan terhadap klip video tular mengandungi kenyataan berbaur penghinaan agama dan kaum yang dikaitkan dengan seorang penceramah bebas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Abdul Jalil Hassan. (Gambar: BERNAMA)
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan terhadap klip video tular mengandungi kenyataan berbaur penghinaan agama dan kaum yang dikaitkan dengan seorang penceramah bebas.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Abdul Jalil Hassan berkata video berdurasi satu minit itu mula tersebar di beberapa aplikasi media sosial seperti TikTok, Facebook dan WhatsApp sejak beberapa hari lalu dan mengundang kemarahan orang ramai.
“Justeru siasatan telah dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5 JSJ Bukit Aman di bawah Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan kerana dengan niat hendak mengapikan atau yang mungkin mengapikan mana-mana golongan atau kaum melakukan sesuatu kesalahan terhadap mana-mana golongan atau kaum lain dan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penyalahgunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian," menurutnya dalam kenyataan malam semalam (6 Okt).
Beliau berkata siasatan berhubung kes terbabit masih dijalankan dan pihaknya menasihatkan orang ramai supaya jangan membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.
Tambahnya, tindakan tegas bakal diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman serta keselamatan awam.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.