Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Polis M'sia dakwa isu kartel daging haram babitkan sindiket dalam dan luar negara

Polis percaya kegiatan kartel daging import yang menggunakan label halal palsu melibatkan rangkaian luas serta didalangi sindiket dalam dan luar negara, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Huzir Mohamed.

Anggaran Waktu Membaca:
Polis M'sia dakwa isu kartel daging haram babitkan sindiket dalam dan luar negara
Diterbitkan : 29 Dec 2020 10:16PM Dikemas Kini : 29 Dec 2020 10:18PM

KUALA LUMPUR: Polis percaya kegiatan kartel daging import yang menggunakan label halal palsu melibatkan rangkaian luas serta didalangi sindiket dalam dan luar negara, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Huzir Mohamed.

Beliau berkata ia berdasarkan jumlah dan nilai rampasan serta sitaan yang terlibat sebelum ini.

"Siasatan berhubung kegiatan itu sedang dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan ketakutan atau kegentaran kepada orang awam.

“Selain itu, siasatan merangkumi pihak terlibat dalam pemerolehan, penyimpanan, pemprosesan, penyeludupan, pihak yang memanipulasi, bersubahat dan membawa masuk daging beku melalui Permit Import (AP),” katanya dalam kenyataan.

Encik Huzir berkata setakat ini polis menerima 13 laporan daripada orang awam di seluruh negara yang gusar dengan kemunculan isu berkenaan.

Isu kartel daging import mula mendapat perhatian ramai selepas media baru-baru ini melaporkan taktik kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari luar negara sebelum membungkus semula daging berkenaan dengan menggunakan logo halal dan menjualnya di pasaran seluruh Malaysia.

“PDRM memandang serius dan komited untuk menanganinya dengan jaringan kerjasama agensi seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin serta Pemeriksaan Malaysia dan Jabatan Kastam,” kata Encik Huzir.

Beliau berkata tindakan ke atas sindiket ini adalah wajar kerana ia mencetuskan kegusaran rakyat Malaysia serta menyentuh sensitiviti agama Islam.

“Sindiket ini juga mencetuskan ketidakpuasan hati dan mengancam ketenteraman dalam negara akibat perbuatan pihak yang tidak bertanggungjawab, menjejaskan imej negara sebagai hub halal dan memberi kesan besar kepada sektor ekonomi negara,” katanya.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan