Polis M'sia berkas 20 penjudi haram termasuk 16 warga emas
Polis menahan 20 individu termasuk 16 warga emas yang sedang leka bermain judi di sebuah rumah sewa yang dijadikan sarang judi untuk mereka berjudi ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), di Air Itam awal pagi ini (7 Feb).

Gambar fail kereta polis di Malaysia. (Gambar: Manan Vatsyayana/AFP)
GEORGE TOWN: Polis menahan 20 individu termasuk 16 warga emas yang sedang leka bermain judi di sebuah rumah sewa yang dijadikan sarang judi untuk mereka berjudi ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), di Air Itam awal pagi ini (7 Feb).
Seramai 15 lelaki dan lima wanita ditahan dalam serbuan pada pukul 1.00 pagi oleh polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi & Maksiat (D7) dengan kerjasama Bahagian Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Pulau Pinang itu.
Menurut sumber, serbuan dilancarkan hasil risikan serta intipan sejak seminggu lalu dan semasa serbuan, empat daripada mereka yang terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita, sedang bermain judi jenis daun terup.
"Yang lain sedang leka bermain mahjong, dan susulan pemeriksaan lanjut di rumah itu, polis merampas peralatan untuk berjudi seperti daun terup dan mahjong serta wang tunai di atas meja sebanyak RM1,350 (S$442)," katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Rahimi Mohd Ra'ais ketika dihubungi mengesahkan penahanan 20 individu berumur antara 50 dan 70 tahun itu, kerana terlibat dengan aktiviti perjudian di rumah sewa berkenaan.
Katanya lagi, semua mereka disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan, dan Perkara 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.