Polis Korea Selatan bina kes terhadap Yoon Suk Yeol kerana halang pelaksanaan waran tangkap
Polis Korea Selatan sedang membina kes secara rasmi terhadap Presiden Yoon Suk Yeol yang digantung jawatan berikutan dakwaan beliau menghalang pelaksanaan waran tangkap, kata jurucakap polis pada Jumaat (Feb 21).

Encik Yoon Suk Yeol di Mahkamah Perlembagaan pada Khamis, 6 Februari 2025. (Gambar: AFP).
Mahkamah Korea Selatan mengeluarkan waran tangkap terhadap Yoon pada 31 Disember dalam siasatan jenayah yang mendakwa dirinya melakukan pemberontakan berikutan pengisytiharan undang-undang tentera yang dilakukannya, tahun lepas.
Waran tangkap tersebut, bagaimanapun, tidak dilaksanakan sehingga 15 Januari selepas Yoon gagal mematuhinya dan Perkhidmatan Keselamatan Presiden menghalang penyiasat selama beberapa hari.
Polis menyiasat Encik Yoon atas dakwaan melakukan halangan khas terhadap tugas awam sejak sekitar 3 Januari, kata jurucakap polis menerusi satu pesanan teks.
Kesalahan itu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun mengikut undang-undang Korea Selatan.
Encik Yoon berkata pengisytiharan undang-undang tentera yang dilakukannya tidak berbentuk pemberontakan, yang merupakan salah satu daripada dua dakwaan yang boleh dikenakan ke atas presiden.
Peguam Encik Yoon tidak memberikan ulasan segera pada Jumaat, tetapi mereka sebelum ini mengatakan bahawa waran tangkap itu tidak sah kerana siasatan tidak dijalankan dengan betul.
Kekebalan Encik Yoon daripada kebanyakan dakwaan jenayah akan berakhir jika beliau digulingkan oleh Mahkamah Perlembagaan, yang kini berada dalam fasa terakhir bagi perbincangan berkenaan pemecatannya.
Mahkamah Perlembagaan menyatakan pada Khamis bahawa ia akan mendengar kenyataan terakhir dari Encik Yoon dan parlimen dalam perbicaraan seterusnya mengenai sama ada untuk menggulingkan atau mengembalikan kuasa presiden Yoon.
Para pengamat meramalkan keputusan mungkin dibuat pada bulan Mac.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.