Polis klasifikasi kes suami isteri mati dalam kebakaran sebagai kes bunuh
Kes pasangan suami isteri yang maut dalam kebakaran sebuah rumah di Taman Desa Vista, Sepang, pada Isnin (28 Jan) diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat.
Gambar hiasan. (Gambar: AFP)
KUALA LUMPUR: Kes pasangan suami isteri yang maut dalam kebakaran sebuah rumah di Taman Desa Vista, Sepang, pada Isnin (28 Jan) diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat.
Beliau berkata ia berdasarkan laporan awal bedah siasat mangsa wanita mendapati ada kesan kecederaan akibat dihentak benda keras di kepala.
“Berdasarkan keterangan ini dan beberapa keterangan yang diperoleh di tempat kejadian, kes diklasifikasikan semula sebagai bunuh. Kes itu kini disiasat di bawah Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata laporan bedah siasat terhadap mangsa lelaki bagaimanapun belum diperolehi.
Berikutan itu, polis kini masih dalam proses merekod keterangan beberapa individu bagi membantu siasatan, katanya.
Pada Isnin (28 Jan), Encik Wan Mohd Baharul Nizam Wan Bakar, 35 tahun, dan Cik Norwahidah Abdul Hamid, 28 tahun, ditemukan mati dalam kebakaran di sebuah rumah teres setingkat di Taman Desa Vista.
Kedua-dua mereka adalah penjawat awam yang bertugas di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Putrajaya.
Ketua Polis Daerah Sepang ACP Abdul Aziz Ali dalam kenyataan semalam (29 Jan) dilaporkan berkata pihak bomba terpaksa memecahkan jeriji di pintu utama serta pintu rumah itu yang berkunci dari dalam.
“Anggota bomba yang berjaya masuk ke bilik utama menemui seorang lelaki di dalam tandas bilik utama rumah itu sementara mayat wanita tersebut ditemui terbaring di atas tilam dengan kesan terbakar,” katanya.
Jurucakap bomba sebelum ini berkata Cik Norwahidah mati di tempat kejadian manakala suaminya yang menerima rawatan daripada anggota Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) juga gagal diselamatkan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.