Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Polis KL tembak mati 4 penjenayah warga Vietnam

Anggaran Waktu Membaca:
Polis KL tembak mati 4 penjenayah warga Vietnam

Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Mohd Isa. (Gambar: BERNAMA)

KUALA LUMPUR: Polis menembak mati empat penjenayah warga Vietnam yang disyaki terbabit dalam 44 kes tebuk peti besi di sekitar Lembah Klang, sejak 2018, lapor BH Online.

Keempat-empat suspek ditembak ketika sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan JSJ Kuala Lumpur menyerbu unit kediaman di tingkat 17, sebuah kediaman mewah di Jalan Imbi, Bukit Bintang pada pukul 11.30 malam pada Selasa (12 Nov).

Ketua Polis Kuala Lumpur, Rusdi Mohd Isa, berkata kesemua suspek berusia 40-an tahun didapati cuba melepaskan tembakan ke arah pihak polis dalam Operasi Tebuk (Op Tebuk) ini.

"Ketika proses melakukan tangkapan cuba dibuat, suspek dikesan melepaskan tembakan secara tiba-tiba sehingga berlaku situasi berbalas tembakan dan dalam usaha mempertahankan diri, polis dapat menembak mati kesemua mereka," kata beliau.

Encik Rusdi berkata pemeriksaan mendapati suspek bersenjatakan dua parang dan dua pistol yang disyaki digunakan untuk menyerang anggota polis.

Menurutnya, kebiasaannya suspek menyasarkan pejabat dan kediaman yang tidak berpenghuni selepas melakukan pemerhatian sebelum melakukan jenayah.

"Kali terakhir suspek dilaporkan melakukan jenayah, yang terbaharu dua hari lalu di Sri Hartamas, sebelum kembali menyembunyikan diri di lokasi yang diserbu malam ini.

"Kita juga percaya mereka ini menjadikan unit kediaman mewah di sini sebagai tempat perancangan jenayah, berehat serta menyembunyikan diri.

"Daripada siasatan, suspek yang mempunyai pasport ini sangat popular (berbahaya) dan sangat susah untuk ditahan kerana kelicikan mereka.

"Mereka ini melakukan jenayah pada waktu malam dan tidak meninggalkan kesan dan apabila wajah mereka terakam pada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) ianya agak sukar untuk dikenal pasti disebabkan mereka warga asing," katanya, seperti dinukil BH Online.

Beliau berkata, siasatan lanjut kini sedang diteruskan bagi mengesan saki-baki kumpulan ini dan juga dalam proses melengkapkan siasatan atas jenayah yang dilakukan mereka.

Mayat kesemua suspek dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat.

Sumber : Agensi berita/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan