Skip to main content

Dunia

Polis Kelantan rampas dua senjata api, lebih 1.1 kg syabu

Polis Kelantan merampas dua senjata api dan 1.1793 kilogram dadah jenis syabu dalam empat serbuan berasingan di Kota Bharu dan Pasir Mas pada Khamis lepas kata Timbalan Ketua Polis Kelantan SAC Abdullah Mohammad Piah.

Anggaran Waktu Membaca:
Polis Kelantan rampas dua senjata api, lebih 1.1 kg syabu

Encik Abdullah Mohammad Piah. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 17 Nov 2019 06:39PM Dikemas Kini : 17 Nov 2019 06:42PM

KOTA BHARU: Polis Kelantan merampas dua senjata api dan 1.1793 kilogram dadah jenis syabu dalam empat serbuan berasingan di Kota Bharu dan Pasir Mas pada Khamis lepas kata Timbalan Ketua Polis Kelantan SAC Abdullah Mohammad Piah.

Menurut beliau kes pertama membabitkan serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Bachok, Kampong Padang Mokan, Peringat di sini pada pukul 4.30 petang di mana polis menemui selaras senapang patah dan sepucuk pistol buatan sendiri yang disangkutkan pada kayu di bawah lantai rumah tersebut.

"Hasil pemeriksaan polis turut menemui lima butir peluru penabur berwana putih dan hijau, selain 50 biji pil kemerahan disyaki pil kuda dan kemudiannya menahan dua lelaki berusia 27 dan 49 tahun yang positif dadah jenis methamphetamine," katanya di sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.

Encik Abdullah berkata, hasil soal siasat mendapati kedua-dua senjata tersebut diperoleh daripada seorang rakan yang tinggal di Selising, Pasir Puteh dan sedang menyiasat sama ada kedua-dua senjata api berkenaan digunakan dalam mana-mana kes jenayah.

Sementara itu, dalam kes kedua, polis menahan seorang pemandu lelaki pada pukul 5.40 petang di tempat letak kereta sebuah restoran makanan segera di Rantau Panjang, Pasir Mas, selepas menemui ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 1.018 kilogram (kg) bernilai RM50,000 (S$16,000) di penyangkut barang di belakang tempat duduk penumpang hadapan.

"Suspek berusia 33 tahun itu, cuba melarikan diri dan berlaku pergelutan sebelum berjaya ditahan. Suspek direman tujuh hari bermula Jumaat lepas dan kes disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori," katanya.

Dalam kes ketiga, seorang penganggur lelaki berusia 30 tahun ditahan pada pukul 2.30 pagi dalam satu serbuan di sebuah rumah di Jalan Pasir Pekan, Pasir Mas.

Encik Abdullah berkata pemeriksaan ke atas badan suspek, menemui ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 53.2 gram bernilai RM7,980 (S$2,600) yang disorok di dalam kotak rokok di dalam poket kanan seluar jeans lelaki itu.

Dalam perkembangan sama, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 31 tahun di tepi jalan simpang tiga Kampung Kias, Pasir Mas, selepas cuba melarikan diri dan merempuh bahagian hadapan kenderaan polis sebelum terbabas.

“Hasil pemeriksaan badan suspek, polis menemui 108.1 gram dadah jenis syabu bernilai RM16,215 (S$5,300) di dalam beg pinggang dipakai suspek dan suspek direman tujuh hari dari tarikh ditangkap,” katanya.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita