Polis Johor tumpaskan sindiket edar dadah guna katrij vape bernilai RM10.68 juta
Timbalan Ketua Polis Johor Hoo Chuan Huat pada sidang media mengenai operasi membanteras sindiket pengedaran dadah menggunakan katrij vape. (Gambar: Bernama)
Tujuh individu turut ditahan dalam operasi di lima lokasi berasingan di Johor Bahru, Kulai dan Muar pada Ahad (2 Ogos).
Timbalan Ketua Polis Johor Hoo Chuan Huat berkata mereka terdiri daripada lima lelaki tempatan, seorang lelaki warga asing dan seorang wanita warga asing, berusia antara 36 hingga 46 tahun.
Dalam serbuan pertama di sebuah stesen minyak di kawasan rehat dan rawat di Kulai, polis menahan seorang lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing.
Pemeriksaan ke atas sebuah kereta Honda BR-V menemukan 9,000 katrij rokok elektronik yang mengandungi cecair methamphetamine.
Polis kemudian menyerbu sebuah kondominium di Bandar Medini, Iskandar Puteri, yang dipercayai digunakan untuk membungkus dan mengisi katrij rokok elektronik dengan dadah.
Seorang lelaki warga asing ditahan dalam serbuan itu.
Polis turut merampas antaranya cecair methamphetamine, dua paket plastik disyaki mengandungi kokain, satu bungkusan plastik ketamin dan sebuah mesin untuk mengisi cecair rokok elektronik.
Dalam serbuan berasingan di sebuah rumah di Taman Sutera Utama, seorang lelaki tempatan ditahan bersama heroin, pil Erimin 5 dan pil ekstasi.
Dua lagi serbuan dijalankan di Mutiara Rini dan Tanjung Agas, Muar, dengan tiga lelaki tempatan ditahan, termasuk individu yang dipercayai menjadi "perancang" sindiket.
Secara keseluruhan, polis merampas 210.43 kilogram dadah dalam operasi tersebut.
Menurut Encik Hoo, sindiket itu dipercayai aktif sejak Februari lalu dengan setiap suspek memainkan peranan masing-masing.
"Modus operandi sindiket adalah dengan menjadikan kondominium sebagai tempat pembungkusan dan pengisian rokok elektronik berisi dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan," katanya.
Ujian air kencing mendapati dua suspek positif methamphetamine, manakala empat mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dadah.
Kesemua tujuh suspek direman selama seminggu mulai 3 Ogos.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.