Skip to main content

Dunia

Polis Johor tidak terima aduan tentang penipuan subsidi perumahan Johor-SG

Anggaran Waktu Membaca:
 Polis Johor tidak terima aduan tentang penipuan subsidi perumahan Johor-SG

Ketua Polis Johor Pesuruhjaya Polis Ab Rahaman Arsad. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 05 Sep 2025 07:03PM Dikemas Kini : 05 Sep 2025 07:06PM
JOHOR BAHRU: Polis Johor tidak menerima sebarang laporan berkaitan penipuan subsidi perumahan Johor-Singapura susulan amaran yang dikeluarkan oleh Pasukan Polis Singapura (SPF) berhubung kes itu.

Ketua Polis Johor Pesuruhjaya Polis Ab Rahaman Arsad bagaimanapun berkata pihaknya bersedia untuk bekerjasama dengan SPF sekiranya diperlukan.

Beliau berkata pihaknya mengambil maklum artikel yang melaporkan SPF memberikan amaran kepada orang ramai supaya berwaspada terhadap penipuan tersebut.

"Polis Johor mengesahkan bahawa tiada laporan berkaitan penipuan tersebut diterima kontinjen. Bagaimanapun, polis Johor akan bekerjasama dengan SPF sekiranya diperlukan bagi membantu siasatan," menurutnya dalam kenyataan pada Jumaat (5 Sep).

Beliau pada masa yang sama menasihati orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan tawaran berbentuk subsidi dan disaran mengambil langkah pencegahan supaya tidak menjadi mangsa.
 
Orang ramai boleh menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 atau akaun Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di Facebook, Instagram dan TikTok bagi maklumat lanjut berhubung modus operandi terkini melibatkan kes penipuan.

Pada Khamis (4 Sep), media tempatan melaporkan bahawa SPF memberikan amaran mengenai satu penipuan melibatkan subsidi perumahan Johor-Singapura yang viral di Facebook.

Mangsa penipuan didakwa menemukan iklan berserta pautan yang mempromosikan "JBSG Housing Subsidy Program" atau "Free Homes Across the Causeway" di platform berkenaan.

Laporan itu dipetik berkata iklan tersebut menggambarkan wujud kerjasama antara kerajaan Johor dan Singapura dalam penyediaan perumahan bersubsidi.
Sumber : Bernama/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita