Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Polis Johor siasat penganjuran parti seks bebas 

Anggaran Waktu Membaca:
JOHOR BAHRU: Polis Johor telah membuka kertas siasatan berhubung poster penganjuran parti seks bebas yang didakwa berlangsung pada Jun, seperti yang tular di laman Twitter baru-baru ini.

Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat berkata kertas siasatan itu dibuka di bawah Seksyen 292 (e) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, beliau berkata bagi kesalahan penyebaran melalui media sosial, pihaknya akan membuat siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 (S$14,620) atau dipenjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

“Polis Kontinjen Johor telah terkesan satu penularan poster melalui media sosial yang mempromosikan pesta seks bebas. Pihak polis memberi amaran yang keras kepada pihak penganjur agar acara tersebut tidak diteruskan, dan dibatalkan.  

“Kita juga akan membuat pemantauan berterusan atas apa-apa juga penganjuran acara yang menyalahi undang-undang dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Kamarul Zaman memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian jenayah supaya menyalurkan maklumat ke bilik gerakan polis Johor menerusi talian 07-2212999.

Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mencetuskan kebimbangan atau menggugat ketenteraman awam.

Selasa lepas, kerajaan negeri memberi amaran kepada semua pihak supaya tidak menganjurkan sebarang program yang boleh mendorong orang ramai melakukan maksiat dan kegiatan tidak bermoral.  Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid turut memohon kerjasama orang ramai untuk membantu mencegah dan menghalang kegiatan itu daripada berlaku di Johor.
Sumber : Bernama/SU/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan