Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Polis Johor siasat insiden joget konsert muzik di Ayer Hitam

Polis akan memulakan siasatan berikutan orang ramai yang berhibur di konsert muzik tanpa penjarakan sosial di tengah-tengah pandemik, lapor Malaysiakini pada Ahad (6 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:

JOHOR: Polis akan memulakan siasatan berikutan orang ramai yang berhibur di konsert muzik tanpa penjarakan sosial di tengah-tengah pandemik, lapor Malaysiakini pada Ahad (6 Mac).

Acara itu dikaitkan dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia, kelihatan tanpa SOP penjarakan sosial di tengah-tengah pandemik.

Dalam klip video yang tular sewaktu program di Ayer Hitam, Johor menunjukkan hadirin sedang menari ketika muzik dimainkan, menampilkan versi remix dangdut "Yang Penting Happy" oleh Jamal Mirdad, tambah laporan Malaysiakini itu lagi.

Klip video dan gambar-gambar yang tular di Twitter, Facebook dan TikTok itu turut menunjukkan adegan 'crowd surfing' (perbuatan menjulang seseorang dalam acara seperti konsert dan sebagainya).

Konsert “Riuh Ek!" yang diadakan pada Jumaat lepas (4 Mac) merupakan sebahagian daripada program Riuh Keluarga Malaysia oleh kementerian berkenaan yang bertujuan untuk membantu pemulihan industri kreatif yang terkandas akibat pandemik COVID-19.

Program itu anjuran MyCreative Ventures Sdn Bhd, cabang pelaburan kerajaan yang bertujuan untuk memacu industri kreatif tempatan dan diletakkan bawah kelolaan Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Menterinya Annuar Musa, yang berada di Johor untuk berkempen untuk BN pada pilihan raya negeri pada hujung minggu itu, turut menghadiri majlis tersebut untuk menyampaikan ucapan.

Pun begitu, suasana kelihatan lebih tenang ketika Annuar, yang juga ahli parlimen Ketereh Umno sedang menyampaikan ucapannya.

‘TIDAK HARUS BERLAKU’

Sumber dalam Kementerian Komunikasi dan Multimedia memberitahu Malaysiakini bahawa mereka menyerahkan perkara itu kepada polis dan enggan mengulas lanjut.

Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat berkata pihaknya belum menerima laporan mengenai perkara itu tetapi masih akan memulakan siasatan.

“Perkara seumpama itu tidak harus berlaku. Tidak boleh berpesta, ini akan menyebabkan keresahan kepada orang awam dan kita akan menjalankan siasatan serta ambil tindakan kerana sudah tentu (konsert) ini tidak patuh SOP jika mereka berhibur dan sebagainya,” katanya lapor Malaysiakini menukil Utusan Malaysia.

Konsert itu berlangsung di tengah-tengah kempen pilihan raya negeri Johor yang bermula pada 26 Feb.

Rakyat Johor akan keluar mengundi pada 12 Mac.

Sumber : Agensi berita/SU/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan