Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Polis Johor nafi kadar jenayah meningkat susuli pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura

Anggaran Waktu Membaca:

JOHOR BAHRU: Polis Johor menafikan dakwaan kadar jenayah di negeri itu akan meningkat apabila sempadan antara Malaysia dan Singapura dibuka berikutan kedudukan jenayah indeks terkawal dan tidak menunjukkan sebarang kenaikan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor SAC Shahurinain Jais berkata pihaknya, menerusi Operasi Lejang yang dilancarkan di seluruh negeri pada 27 Mac lepas sehingga kini, berjaya menurunkan kes jenayah terutama melibatkan harta benda.

Beliau berkata sebanyak 526 pemeriksaan di premis dilakukan yang membawa kepada penahanan 30 individu, yang disyaki terlibat dalam kecurian kenderaan, dan rampasan 24 kenderaan.

“Kita telah mengesan satu kenyataan palsu tular di media sosial berkaitan kemungkinan berlaku peningkatan jenayah apabila sempadan Malaysia-Singapura dibuka. Polis Johor ingin menegaskan bahawa kenyataan tersebut adalah palsu.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah mempercayai apa jua yang ditularkan dan menyemak dahulu kesahihan maklumat,” menurutnya dalam kenyataan pada Selasa (19 Apr). 

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Johor Superintenden M. Kumarasan pula memaklumkan pihaknya mengeluarkan sejumlah 2,350 saman atas pelbagai kesalahan melalui pemeriksaan terhadap 10,035 kenderaan termasuk 3,723 motosikal dalam Operasi Khas Samseng Jalanan.

“Jumlah pemeriksaan individu adalah seramai 12,815 orang dan 10,035 kenderaan diperiksa dengan 208 kenderaan telah disita mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya sambil menambah operasi seminggu bermula 9 April lepas di seluruh Johor itu bertujuan menangani isu mat rempit yang semakin berleluasa.

Beliau berkata dalam operasi itu, seramai 39 lelaki dan tiga wanita berumur lingkungan 14 hingga 53 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan mengikut Akta APJ 1987 serta Akta Dadah Berbahaya 1952 dan mereka diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah untuk tindakan lanjut.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan