Skip to main content

Dunia

Polis Johor kesan individu menyamar sebagai TMJ

Anggaran Waktu Membaca:

JOHOR BAHRU: Polis Johor kini sedang mengenal pasti serta mengesan individu yang menyamar sebagai Tunku Makhota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim melalui Instagram, dengan menggunakan akaun ‘HRHCROWNPRINCEOFJOHOR’, dipercayai untuk memperdaya mangsa.

Timbalan Ketua Polis Johor DCP M Kumar berkata pihaknya menerima laporan mengenai penyamaran itu pada pukul 2.35 petang Selasa (21 Feb) daripada media Istana Johor.

Beliau berkata menerusi satu tangkapan skrin akaun Instagram terbabit, yang memaparkan mesej yang menunjukkan seorang individu mengaku sebagai Tunku Mahkota Johor kepada beberapa pihak dan meminta sejumlah bayaran untuk urusan perniagaan.

Encik Kumar berkata melalui siasatan awal, pihaknya mendapati individu berkenaan telah menyamar sebagai Tunku Mahkota Johor dengan melakukan pengubahsuaian pada tangkapan skrin yang digunakan untuk berkomunikasi dengan mangsa.

“Modus operandi yang digunakan adalah dengan mengubah dan menggunakan gambar profil serta akaun Instagram TMJ, agar mangsa percaya mereka sedang berkomunikasi dengan baginda.

“Setakat ini, dipercayai mesej berkenaan telah diedarkan kepada lapan syarikat dan ada di antara syarikat berkenaan telah terpedaya, dan memasukkan sejumlah wang ke akaun yang diarahkan individu untuk mendapatkan projek yang ditawarkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa. 

Tambah Encik Kumar, kes disiasat di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan (Penyamaran), yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Kes itu juga disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Tipu), yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan sebatan dan didenda, jika sabit kesalahan.

“Polis Johor menyeru mana-mana pihak yang telah menjadi mangsa, untuk melaporkannya kepada pihak polis agar siasatan menyeluruh dapat dijalankan,” katanya.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita