Polis Johor buru suspek kes tembakan
(Gambar hiasan: BERNAMA)
JOHOR BAHRU: Polis sedang menjalankan siasatan bagi mengesan seorang lelaki yang dipercayai melepaskan tembakan dalam cubaan samun di sebuah premis di Taman Megah Ria, Seri Alam, di Johor Bahru pada Sabtu (19 Jul).
Ketua Polis Daerah Seri Alam ACP Mohd Sohaimi Ishak berkata kejadian berlaku pada 7.10 malam dan identiti lelaki tempatan itu sedang dikenal pasti.
"Suspek memasuki premis dengan mengacukan sejenis objek menyerupai pistol ke arah mangsa sambil mengarahkan mangsa menyerahkan wang tunai.
"Suspek melepaskan satu das tembakan di luar premis sebelum melarikan diri dengan sebuah motosikal dari kawasan kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini (20 Jul).
Beliau bagaimanapun berkata tiada sebarang kecederaan terhadap mangsa dilaporkan dalam kejadian itu.
Mohd Sohaimi berkata kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
Sebelum ini, tular rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di laman sosial Facebook yang memaparkan lelaki terbabit melarikan diri menggunakan motosikal dan memegang objek dipercayai pistol.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.