Skip to main content

Dunia

Polis Johor bongkar makmal dadah, rampas RM14.46 juta

Ketua Polis Johor M Kumar berkata dalam lima serbuan pada 6 hingga 11 Mac lepas, pihaknya turut berjaya membongkar sebuah kilang yang dijadikan tempat penyimpanan pelbagai bahan dan peralatan memproses dadah di sebuah kawasan perindustrian.

Anggaran Waktu Membaca:
Polis Johor bongkar makmal dadah, rampas RM14.46 juta

Ketua Polis Johor M Kumar (tengah) menunjukkan gambar suspek yang diberkas berhubung pembongkaran tiga makmal dadah dan sebuah kilang di Iskandar Puteri dan Seri Alam pada sidang media 18 Mac, 2025. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 18 Mar 2025 04:22PM Dikemas Kini : 18 Mar 2025 04:23PM
ISKANDAR PUTERI: Polis Johor membongkar tiga makmal memproses dadah selepas menahan tujuh lelaki membabitkan nilai rampasan keseluruhan RM14.46 juta (S$4.32 juta) dalam lima serbuan di Iskandar Puteri dan Seri Alam pada 6 hingga 11 Mac lepas.

Ketua Polis Johor M Kumar berkata dalam operasi khas itu, pihaknya turut berjaya membongkar sebuah kilang yang dijadikan tempat penyimpanan pelbagai bahan dan peralatan memproses dadah di sebuah kawasan perindustrian.

Beliau berkata tujuh lelaki yang diberkas terdiri daripada lima warga tempatan dan dua warga Taiwan berusia 25 hingga 40 tahun.

“Tiga daripada suspek yang ditahan dipercayai ahli kimia (membuat dadah), namun mereka ini bukan ahli kimia bertauliah, tetapi belajar sendiri dan kita sedang buat siasatan lanjut.

“Sindiket ini dipercayai mengedar untuk pasaran antarabangsa dan aktif sejak Julai tahun lepas, dengan menggunakan rumah teres dan banglo berpagar serta berkawal di Johor Jaya dan Seri Alam sebagai makmal memproses dadah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri.

Tambah beliau, secara keseluruhan 42.5 kilogram (kg) serbuk methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dan 182.8kg syabu bernilai RM12.94 juta (S$3.87 juta) dirampas.

“Turut dirampas pelbagai peralatan dan mesin memproses dadah serta tiga kereta, sebuah lori, pelbagai barang kemas dan tiga akaun bank disita dengan nilai keseluruhan termasuk dadah dianggarkan RM14.46 juta,” katanya.

Encik Kumar berkata hasil saringan air kencing mendapati kesemua suspek negatif daripada sebarang jenis dadah, manakala tiga daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau.

Kesemua suspek direman sehingga Khamis (20 Mac) dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.
Sumber : Bernama/SU/su
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita