Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Polis Johor berkas 2 individu terlibat dalam video tengkarah dekat Linkedua

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 15 Jul 2022 04:30PM Dikemas Kini : 15 Jul 2022 09:15PM

SINGAPURA: Polis Malaysia pada Khamis (14 Jul) memberkas dua individu yang terbabit dalam insiden mencetuskan kemarahan di jalan raya berdekatan Kompleks Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Linkedua Tuas minggu lalu. 

Video insiden tersebut yang tersebar luas pada hujung minggu lalu, menunjukkan seorang wanita yang menghalang pergerakan sebuah kereta berwarna hitam ketika trafik bergerak dengan perlahan sebelum mencabut plat nombor kereta berkenaan lalu membalingnya ke arah cermin depan kenderaan tersebut. 

Seorang lelaki kemudian keluar daripada kereta Kia yang berdaftar di Singapura dan berlari ke arah kenderaan mangsa lalu menunjukkan isyarat yang menyinggung perasaan. 

Dalam kenyataan pada Jumaat (15 Jul), Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Rahmat Ariffin berkata, seorang wanita dan seorang lelaki warga Singapura yang terlibat dalam satu kes perbuatan nakal diberkas pada Khamis malam (14 Jul) di pusat pemeriksaan imigresen pada bahagian Malaysia di Linkedua. 

Polis Johor kemudian memberitahu Mediacorp bahawa wanita itu adalah seorang warga Malaysia yang memegang status Penduduk Tetap Singapura (PR). 

"Kedua-dua suspek mengaku terlibat dalam kes itu," dedah Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Rahmat dalam kenyataan tersebut. 

"Kedua-dua suspek dipercayai tidak berpuas hati apabila kenderaan mereka dihalang dan digesel semasa kejadian itu." 

ACP Rahmat pada Ahad (10 Jul) berkata bahawa pemandu Toyota Alphard berwarna hitam itu tidak cedera dan terdapat kerosakan kecil pada kenderaan tersebut. 

Tambah ACP Rahmat, mangsa sedang dalam perjalanan pulang ke Singapura dari kawasan kediaman Forest City di Johor apabila kejadian itu berlaku.

Sumber : CNA/NY/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa