Skip to main content

Dunia

Polis Jerman rampas 4 kereta Bugatti Veyron edisi khas terkait 1MDB

Anggaran Waktu Membaca:
BERLIN: Polis Jerman dilaporkan telah merampas empat buah kereta mewah Bugatti Veyron edisi khas di Munich awal minggu ini yang dikaitkan dengan sebahagian daripada siasatan skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Akhbar Jerman Bild melaporkan, empat kereta edisi terhad yang dikaitkan dengan skandal 1MDB telah dirampas daripada kemudahan simpanan persendirian.

Kenderaan berkenaan dikatakan adalah sebahagian daripada siri "Legenda" khas Bugatti Veyron, dengan hanya 18 daripada kereta sedemikian dibina dalam enam spesifikasi.

Empat kenderaan itu adalah Rembrandt edisi Veyron, Black Bess, Jean-Pierre Wimille dan Meo Constantini. Setiap kereta berharga sekitar AS$3 juta (S$4 juta).

"Kereta itu jarang dijual, dan biasanya tidak dijual di lelongan awam. Kereta berkenaan dikesan dan dirampas oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah 7, yang pakar dalam jenayah kolar putih," menurut media Jerman, Bild.

Ia menyatakan, kereta itu diletakkan di tempat letak kereta Motorworld Munich ketika suatu pertunjukan automotif diadakan.

Skandal 1MDB mengheret ramai personaliti ternama yang terdiri daripada ahli politik dan perbankan hingga ke bintang Hollywood.

Skandal berkenaan turut melibatkan siasatan jenayah di beberapa negara.

Polis Munich bagaimanapun enggan berkongsi sebarang butiran khusus mengenai kes yang sedang berjalan dengan Bild memetik kebanyakan laporannya daripada sumber badan kehakiman Jerman.

Bild melaporkan bahawa kereta-kereta itu telah disita berhubung dengan siasatan mengenai dana kekayaan negara 1MDB.
 
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita