Skip to main content

Dunia

Polis Ipoh tahan warga emas samun guna pistol mainan

Anggaran Waktu Membaca:
IPOH: Strategi seorang warga emas bersenjatakan pistol mainan untuk menyamun akhirnya gagal apabila lelaki berusia 66 tahun itu diberkas ketika melakukan perbuatan itu di sebuah kedai menjual telefon bimbit, di Jalan Onn Jaafar pada Sabtu (22 Apr).

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Yahaya Hassan, berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian pada kira-kira jam 4.00 petang.

"Sepasukan anggota dari balai polis Pekan Baru bergegas ke tempat kejadian dan menangkap lelaki warga tempatan itu dan antara barang kes dirampas ialah sebuah beg galas, sepucuk pistol mainan dan dua bilah pisau," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad (23 Apr).

Beliau berkata tangkapan itu juga menyelesaikan dua lagi kes mengunakan modus operandi sama iaitu menyamun dengan bersenjata menyerupai pistol di sebuah kedai emas pada 25 Mac lalu dan kedai serbaneka di Ipoh pada 5 April lalu.

Katanya, suspek memiliki beberapa rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan narkotik manakala ujian saringan air kencing ke atasnya mendapati dia positif bagi dadah jenis morfin.

ACP Yahaya berkata ketiga-tiga kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan iaitu samun dengan bersenjata dan suspek direman selama tujuh hari sehingga Sabtu depan (29 Apr) untuk siasatan lanjut.
Sumber : Bernama/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita