Skip to main content

Dunia

Polis Indonesia temui bahan disyaki serbuk letupan di masjid Jakarta

Anggaran Waktu Membaca:
Polis Indonesia temui bahan disyaki serbuk letupan di masjid Jakarta
Pegawai polis Indonesia menjalankan siasatan di lokasi berikutan letupan masjid di Jakarta pada 7 November 2025.(Gambar: CANDRA/AFP)
 
Diterbitkan : 09 Nov 2025 07:27AM Dikemas Kini : 09 Nov 2025 07:28AM
JAKARTA: Polis Indonesia menemui bahan yang mungkin merupakan serbuk letupan semasa menyiasat kejadian letupan di sebuah masjid di ibu negara Jakarta, kata ketua polis Indonesia pada Sabtu (8 Nov).

Polis menyatakan pelaku yang disyaki sedang beransur pulih.

Letupan yang mencederakan hampir 100 orang semasa solat Jumaat itu berkemungkinan merupakan satu serangan, menurut pegawai, dengan seorang pelajar berusia 17 tahun disyaki sebagai pelaku.
"Beberapa bahan bukti sudah ditemui," kata ketua polis Listyo Sigit Prabowo dalam sidang media selepas melawat mangsa-mangsa di hospital.

"Terdapat beberapa bahan bertulis dan juga serbuk yang berkemungkinan menyebabkan letupan berlaku," katanya.

Gambar senapang yang dikatakan ditemui di tempat kejadian tersebar di media sosial menyusuli letupan itu, namun pihak berkuasa menjelaskan bahawa ia hanyalah pistol mainan.

Beberapa laporan media tempatan Indonesia juga menyatakan bahawa senjata mainan tersebut mengandungi tulisan dengan slogan yang merujuk kepada Brenton Tarrant yang membunuh 51 orang dalam serangan pengganas di dua masjid di New Zealand pada 2019.

Pihak berkuasa Indonesia menggesa orang ramai agar tidak membuat spekulasi sebelum siasatan polis selesai.

"Jangan terburu-buru membuat andaian bahawa ini adalah perbuatan pengganas," kata Naib Menteri Koordinator Bidang Politik dan Keamanan, Lodewijk Freidrich Paulus, seperti dipetik oleh agensi berita negara Antara, sambil menambah bahawa siasatan sedang dijalankan.

Suspek yang merupakan seorang pelajar di sekolah berhampiran masjid tersebut, sedang pulih selepas menjalani pembedahan pada Jumaat, kata Encik Listyo.

"Suspek semakin pulih dan kami harap ini akan mempermudahkan siasatan kami".

Setakat ini, pihak berkuasa mengenal pasti seorang suspek, namun Encik Listyo tidak menolak kemungkinan pelibatan individu lain.

"Kami sedang mengumpul rekod-rekod lain, termasuk memeriksa media sosial dan ahli keluarga bagi mendapatkan semua maklumat."
Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita