Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Polis Indonesia siasat kematian lelaki 43 tahun; didakwa dipukul polis trafik Yogyakarta

Pihak berkuasa Indonesia sedang menyiasat kematian seorang lelaki berusia 43 tahun yang dipercayai dipukul oleh beberapa pegawai polis trafik di Yogyakarta.

Anggaran Waktu Membaca:
Polis Indonesia siasat kematian lelaki 43 tahun; didakwa dipukul polis trafik Yogyakarta

(Gambar fail: Polis Daerah Yogyakarta)

YOGYAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia sedang menyiasat kematian seorang lelaki berusia 43 tahun yang dipercayai dipukul oleh beberapa pegawai polis trafik di Yogyakarta.

Mayat mangsa, yang dikenal pasti sebagai Darso, digali semula pada Isnin (13 Jan) sebagai sebahagian daripada siasatan Polis Jawa Tengah selepas keluarganya membuat aduan pada Jumaat lalu (10 Jan), lapor wadah berita Kompas.

Tiga individu kini disiasat berhubung kejadian itu, namun identiti mereka belum dikenal pasti, lapor Kompas pada Isnin.

Pada 21 September tahun lalu, Darso didakwa diberkas di rumahnya di Semarang tanpa sebarang waran tangkap yang sah oleh enam pegawai yang mendakwa berasal daripada Unit Polis Trafik Yogyakarta.

Mangsa dibawa ke sebuah padang bola sepak berhampiran di mana beliau dipercayai dipukul di kepala, perut dan dadanya, kata saudara lelakinya, Tocahyo kepada Kompas.

Dua jam kemudian, tiga daripada pegawai berkenaan kembali ke rumah Darso untuk memaklumkan kepada isterinya bahawa beliau dimasukkan ke Hospital Permata Medika berhampiran di Semarang.

Darso mengalami cedera parah dan dirawat di unit jagaan rapi (ICU) selama tiga hari sebelum dipindahkan ke wad biasa selama tiga hari lagi, di mana beliau dibenarkan pulang selepas itu, lapor berita Tribun.

Beliau meninggal dunia di rumahnya di Semarang pada 29 September lalu, kata peguam mewakili keluarganya Antoni Yudha Timor kepada media pada Sabtu (12 Jan).

Media tempatan melaporkan bahawa Darso terlibat dalam satu kemalangan jalan raya pada 12 Julai tahun lalu.

Beliau melanggar seorang wanita yang menunggang motosikal ketika sedang memandu dari Semarang ke Yogyakarta, iaitu dua bandar yang jaraknya dua jam dengan menaiki kereta.

"Beliau mengaku bertanggungjawab atas kemalangan itu dengan menghantar mangsa ke klinik namun disebabkan beliau tidak mempunyai wang mencukupi (untuk membayar kos perubatannya), beliau meninggalkan kad pengenalannya," jelas peguam yang mewakili keluarga Darso, seperti dinukil Jakarta Globe.

Keluarga wanita itu membuat laporan di Unit Polis Trafik Yogyakarta yang kemudian mengerahkan beberapa pegawai untuk mendapatkan penjelasan daripada Darso, kata ketua polis Yogyakarta Aditya Surya Dharma kepada CNN Indonesia.

Aditya menambah bahawa wanita itu cedera pada bahagian leher dan perlu menggunakan pendakap leher. Namun peguam keluarga Darso pula mendakwa wanita itu hanya mengalami cedera ringan.

KELUARGA KATAKAN IA MENOLAK 'PENYELESAIAN BERDAMAI'

Pada 21 September lalu, Darso dikejarkan ke hospital selepas mengadu sakit dada ketika beliau bersama pegawai dari Unit Penguatkuasaan Undang-Undang Polis Trafik Yogyakarta, lapor Kompas.

Aditya berkata Darso mempunyai sejarah menghidap penyakit jantung dan pernah menjalani pembedahan pemasangan stent jantung, lapor CNN Indonesia.

Keluarga Darso juga menuntut supaya para pegawai yang terlibat dalam kes itu didakwa atas kesalahan melakukan serangan teruk hingga menyebabkan kematian, yang membawa hukuman penjara maksimum selama 15 tahun, lapor Jakarta Globe.

Menjelaskan mengapa keluarga mangsa hanya membuat aduan polis empat bulan selepas kematiannya, peguamnya berkata: "Terdapat penangguhan untuk membuat aduan polis kerana pendalang menziarahi keluarga mangsa beberapa kali untuk cuba menyelesaikan kes itu menerusi pengantaraan."

Para pegawai berkenaan dilaporkan menawarkan "pampasan perdamaian" sebanyak 25 juta rupiah (S$2,098) yang ditolak oleh keluarga mangsa, lapor Kompas.

"Saya enggan menerimanya kerana suami saya pesan kepada saya supaya bawa kesnya ke muka pengadilan," kata isteri Darso, Poniyem kepada Jakarta Globe.

Walaupun Unit Polis Trafik Yogyakarta belum lagi mengulas mengenai tawaran bayaran pampasan yang didakwa diberikan kepada keluarga mangsa, jurucakap Polis Metropolitan Yogyakarta Sujarwo berkata: "Berikan kami sedikit masa untuk mengumpul maklumat untuk lebih memahami kronologi kejadian... Kami sedang memberi kerjasama penuh dengan Polis Jawa Tengah dalam siasatan terhadap kes ini."
Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan