Polis Indonesia kerah robot cegah jenayah, jalankan kerja menyelamat
Polis Indonesia mempamerkan robot-robot baharu mereka di Monas di Jakarta Pusat menjelang ulang tahun pasukan tersebut pada 1 Julai, 2025. (Gambar: Polri)
Jurucakap Polis Nasional Inspektor Jeneral Sandi Nugroho berkata pada Isnin (15 Jul) bahawa inisiatif tersebut selaras dengan pelan strategik polis 2025-2045 untuk menggunakan robotik bagi sokongan operasi, menurut laporan Jakarta Globe.
"Banyak negara sudah menggunakan robot untuk memaksimumkan kerja polis, termasuk robot humanoid di Thailand, robot rondaan di China, dan robot serangga di Singapura untuk operasi mencari dan menyelamat," kata Encik Sandi.
Polis Indonesia merancang untuk menggunakan "robodog" bermula pada tahun 2026, melaksanakan fungsi yang serupa dengan unit K9 dalam mengesan bahan berbahaya sambil menjadi lebih menjimatkan kos dan tahan cuaca.
"Robot-robot ini tidak memerlukan pemberian makanan harian, latihan pengendali, dan boleh beroperasi dalam keadaan cuaca yang melampau," jelas Encik Sandi, seperti ditukil laporan Jakarta Globe.
Selain robodog, polis juga mempamerkan robot humanoid yang mampu melakukan pengecaman wajah dan pemantauan trafik menggunakan sistem kamera 360 darjah. Robot-robot ini membuat penampilan awam pertama semasa latihan untuk sambutan Hari Bhayangkara di Monas, Jakarta Pusat, pada Jumaat lalu, di mana polis menunjukkan 25 robot termasuk humanoid, kereta kebal robotik, dron, dan robodog.
Johanes Kurnia Widjaja, CEO Sari Teknologi, yang membangunkan robot-robot tersebut, berkata reka bentuk itu disesuaikan untuk menangani cabaran khusus yang dihadapi polis Indonesia, lapor Jakarta Globe.
"Robot i-K9 kami boleh beroperasi sehingga lapan jam dalam cuaca melampau dan diintegrasikan dengan kecerdasan buatan," kata Encik Johanes. Sementara itu, robot humanoid, yang masih dalam pembangunan, direka untuk keselamatan dan pemantauan ketenteraman awam. Namun, ia masih memerlukan ribuan jam ujian dan penghalusan algoritma sebelum penempatan operasi sepenuhnya.
Timbalan Ketua Polis Nasional untuk Pengawasan Dalaman Komisioner Jeneral Dedi Prasetyo berkata bahawa walaupun teknologi itu masih di peringkat awal, ia akan membantu polis mengurangkan risiko kepada anggota dan meningkatkan ketepatan operasi.
"Robot-robot ini direka untuk mengambil peranan di lokasi berisiko tinggi, seperti bangunan terbengkalai atau zon bencana, mengurangkan pendedahan manusia kepada bahaya," kata Encik Dedi, menambah bahawa robot-robot tersebut juga mungkin membantu dalam pelupusan bom, situasi tebusan, dan operasi mencari dan menyelamat.
Polis Indonesia sedang mengkaji teknologi polis robotik dari negara-negara seperti China dan Dubai, di mana robot digunakan untuk rondaan, pemprosesan dokumen, dan perkhidmatan awam.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.